Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) optimis mencapai sasaran hasil pendapatan negeri sebanyak RM10 bilion menjelang 2030 sekiranya terus diberi mandat selepas Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17).
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata keyakinan itu berdasarkan prestasi kerajaan GRS yang berjaya meningkatkan hasil dan rizab negeri sepanjang tempoh lima tahun memerintah.
Menurut beliau, kejayaan tersebut didorong keberkesanan strategi ekonomi, disiplin fiskal dan tadbir urus di bawah hala tuju Sabah Maju Jaya 1.0 (SMJ 1.0) bagi tempoh 2021 hingga 2025.
“Di bawah kerajaan GRS, kita berjaya menembusi paras RM5 bilion pada 2021 selepas berbelas tahun berada dalam lingkungan RM3 bilion hingga RM4 bilion ketika pentadbiran terdahulu.
“Hasil negeri meningkat daripada RM5.45 bilion pada 2021 kepada RM6.9 bilion pada 2022, seterusnya RM6.96 bilion pada 2023 dan RM6.87 bilion pada 2024.
“Perbandingan hasil bagi tempoh 2020 hingga 2024 jelas menunjukkan kenaikan hampir dua kali ganda, iaitu RM3.25 bilion atau 90.5 peratus berbanding RM3.26 bilion pada 2020, tahun terakhir pentadbiran Warisan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Pelancaran Manifesto GRS PRU17 yang disempurnakan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, Isnin.
Armizan, yang juga Ahli Parlimen Papar, berkata dalam konteks rizab negeri, data terkini sehingga September tahun ini menunjukkan rizab meningkat kepada RM8.6 bilion berbanding RM2.9 bilion pada 2020.
“Atas asas ini, kerajaan GRS optimis mampu mencapai sasaran kutipan hasil sekurang-kurangnya RM10 bilion menjelang 2030 sekiranya terus diberi mandat selepas PRU17,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata GRS akan menubuhkan Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah (SSWF) bagi memperkukuh pembangunan jangka panjang negeri untuk manfaat generasi akan datang.
Untuk permulaan, SSWF dicadangkan menerima suntikan modal awal daripada sebahagian rizab semasa negeri serta tambahan modal tahunan daripada sebahagian Pemberian Khas 40 peratus.
“Ini kali pertama dalam sejarah Sabah, dan jika GRS diberi mandat, tahun depan kita akan menggubal satu enakmen khusus bagi mewujudkan SSWF yang akan melaksanakan pelaburan strategik.
“Melalui SSWF, Sabah dapat menambah pendapatan dan menyelesaikan isu legasi seperti infrastruktur tanpa terlalu bergantung kepada kerajaan Persekutuan.
“Generasi kepimpinan akan datang juga bukan sahaja dapat berdikari, malah mendapat sokongan kewangan untuk pembangunan negeri dan rakyat,” katanya.
Armizan berkata mulai tahun depan, SSWF akan melibatkan gabungan wakil kerajaan negeri dan golongan profesional yang mempunyai kepakaran dalam pelaburan strategik.
Menurut beliau, Sabah memiliki ramai tenaga pakar tempatan yang boleh digembleng dalam SSWF, sekali gus membantu kerajaan negeri dalam aspek pelaburan sebagaimana peranan SMJ Energy ketika ini.
“Dalam tempoh singkat, SMJ Energy yang ditubuhkan kerajaan GRS sudah menjadi entiti GLC yang kukuh dan menyumbang kepada pendapatan negeri.
“Ini hasil kepakaran anak Sabah dalam bidang seperti pelaburan, kewangan, perundangan dan ekonomi,” katanya.