Kota Kinabalu: Polis Sabah akan melaksanakan Ops Selamat dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri hingga dua hari selepas perayaan itu dengan sasaran mengulangi rekod sifar kematian jalan raya seperti yang dicapai semasa Tahun Baharu Cina.
“Kita berharap semasa Ops Selamat Aidilfitri, sama seperti Ops Selamat Tahun Baharu Cina, jumlah kematian jalan raya di Sabah adalah sifar,” kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun pada sidang media, Rabu.
Beliau berkata kajian oleh polis trafik Sabah menunjukkan keadaan jalan raya bukan punca utama kemalangan di negeri ini.
“Hakikatnya, kemalangan tidak berlaku semata-mata disebabkan keadaan jalan raya. Sembilan puluh peratus kemalangan jalan raya di SabaH berdasarkan kajian yang dijalankan oleh polis trafik, berpunca daripada kecuaian sendiri.
“Mengantuk, memandu dalam keadaan mabuk, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memandu laju. Itu antara puncanya. Sebab itu saya katakan 90 peratus berpunca daripada kecuaian sendiri, manakala hanya 10 peratus melibatkan faktor lain,” katanya.
Beliau turut menggesa pengguna jalan raya supaya memperlahankan kenderaan dan bersabar ketika dalam perjalanan sempena musim perayaan.
“Kita minta semua pengguna jalan raya bersabar di jalan raya. Tidak perlu tergesa-gesa. Kita tidak mendapat ganjaran kerana tiba awal di destinasi. Sampai dengan selamat… itu yang paling penting,” katanya.
Jauteh turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya mendapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan serta tidak menggunakan telefon ketika memandu walaupun untuk menghantar ucapan perayaan.
“Tidak perlu membalas ucapan Hari Raya ketika memandu. Kita mesti sampai ke destinasi dengan selamat,” katanya.