Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) mengingatkan semua parti politik supaya tidak memasang sebarang bahan kempen pada mana-mana pepasangan dan peralatan elektrik miliknya sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
Larangan itu merangkumi perbuatan menampal atau menggantung bahan kempen seperti poster, bendera, kain rentang dan gegantung pada menara penghantaran, tiang elektrik, kotak agihan, pencawang, tiang utiliti konkrit serta talian atas.
“Tindakan ini boleh mendatangkan bahaya kerana boleh menyebabkan renjatan. Ia juga berpotensi menjejaskan bekalan elektrik ke premis penting sepanjang proses pilihan raya seperti pusat penamaan calon, pusat mengundi dan pusat pengiraan rasmi,” kata Ketua Pegawai Operasi Ir. Mohd Yusmanizam Mohd Yusof.
Beliau menjelaskan pemasangan bahan kempen boleh menghalang akses pekerja SE untuk menjalankan kerja penyelenggaraan atau pemulihan bekalan elektrik.
Yusmanizam turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memegang, membawa atau memasang tiang bendera di bawah mana-mana talian penghantaran, termasuk menggunakan buluh, kerana tindakan itu boleh menyebabkan renjatan kepada mereka yang berhampiran.
Beliau berkata aktiviti berbahaya seperti itu turut melanggar peruntukan Enakmen Bekalan Elektrik 2024, yang melarang perbuatan mengganggu, merosakkan atau mencacatkan pepasangan elektrik.
Sebagai langkah pencegahan, SE melalui rondaan berkala akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak berkuasa untuk menanggalkan bahan kempen yang menimbulkan risiko bahaya serta masalah kepada pengguna.
Pada masa sama, SE meminta kerjasama semua pihak supaya mengelakkan kerja-kerja penggalian bagi mengurangkan risiko terkena kabel elektrik yang boleh menyebabkan gangguan bekalan akibat kerosakan kabel.
Orang ramai yang melihat situasi berbahaya atau berpotensi menjejaskan bekalan elektrik boleh segera menghubungi halaman Facebook Sabah Electricity CareLine atau talian 15444 untuk tindakan segera.