TAWAU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan, Datuk Rina Jainal meletakkan jawatan parti dan mengumumkan keluar daripada Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) serta-merta, susulan tindakan parti itu menggantung keahliannya selama tiga tahun sebelum penamaan calon.
Beliau turut memberi bayangan akan tetap bertanding di kerusi Kukusan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) lalu, mengatasi pencabar terdekatnya, Chaya Sulaiman (BN-Umno) ketika itu.
“Saya akan terus berjuang di Kukusan kerana masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk rakyat di sini. Ini bukan soal parti semata-mata, tetapi soal tanggungjawab dan amanah.
“Ramai pengundi di Kukusan yang bertanya, memohon agar saya terus bertanding dan memperjuangkan suara mereka. Selagi mereka mahu saya di sini, saya tidak akan berpaling,” katanya dalam kenyataan, Khamis.
Beliau menegaskan keputusan untuk meninggalkan parti dibuat atas prinsip dan maruah diri, selepas merasakan dirinya menjadi mangsa sabotaj politik oleh pihak dalam PHRS.
“Saya tidak lagi mempunyai kaitan dengan PHRS. Jelas ada pihak yang secara licik mahu menjatuhkan saya, terutama menjelang penamaan calon Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 ini.
“Tindakan menggantung saya tiga hari sebelum hari penting itu amat mencurigakan dan dilihat disengajakan bagi menghalang saya daripada bertanding,” katanya.
Sebelum ini, PHRS melalui Setiausaha Agungnya, Christy Chok Lee Lui, mengumumkan penggantungan jawatan dan keahlian Rina selama tiga tahun selepas mendakwa beliau melanggar disiplin parti.
Namun, Rina menyifatkan alasan itu sebagai tidak berasas dan sekadar helah politik bagi membuka laluan kepada calon lain yang lebih digemari pihak tertentu dalam parti.
“Saya kecewa kerana selama ini saya kekal setia, bekerja keras demi rakyat Kukusan. Tapi akhirnya saya diperlakukan seperti musuh,” katanya.
Beliau turut berkata, penggantungan itu bukan sahaja menggugat semangat penyokong, malah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan akar umbi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kawasan Kukusan.
“Tindakan ini jelas mencerminkan budaya politik tidak matang dan penuh muslihat. Namun saya tetap akan terus berjuang untuk rakyat walaupun tanpa wadah parti ini,” katanya.
Beliau menegaskan, perjuangannya di DUN Kukusan tidak akan terhenti hanya kerana keputusan PHRS, sebaliknya akan diteruskan.
Pada PRN16 lalu, Rina yang bertanding atas tiket Parti Warisan menang dengan kelebihan 10 kerusi dan menjadi wakil rakyat pertama Kukusan selepas menewaskan Chaya dalam pertandingan lima penjuru ketika itu.
Jika benar beliau memutuskan untuk bertanding mempertahankan kerusinya kali ini, Rina sekali lagi bakal bertemu dengan Chaya yang dicalonkan semula BN-Umno, selain turut berdepan persaingan calon lain, antaranya, PHRS (Samsiah Usman) dan bekas atasannya iaitu bekas Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman (Warisan).