KOTA BELUD: Sebanyak 14 saman dikeluarkan polis terhadap sekumpulan penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan trafik menerusi satu operasi di Jalan Kudat Bypass, di sini, Ahad
Seramai lima anggota dan pegawai daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bertugas dalam operasi yang dijalankan bermula jam 10 malam Sabtu hingga jam 4 pagi Ahad itu.
Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Shahruddin Mat Husain berkata operasi itu diadakan bagi membanteras aktiviti menyalahi undang-undang lalu lintas yang berisiko membahayakan diri sendiri serta mengganggu ketenteraman awam.
“Antara kesalahan dikesan termasuk mengubah suai kenderaan, tiada lesen memandu serta tiada nombor pendaftaran.
“Operasi ini diadakan susulan aduan orang awam dan hasil risikan mendapati terdapat aktiviti samseng jalanan yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya ketika dihubungi.
Shahruddin berkata kehadiran polis secara ‘omnipresence’ itu turut melibatkan pelaksanaan operasi pencegahan jenayah.
Beliau turut mengingatkan masyarakat agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya serta mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Polis akan terus memantau dan menjalankan operasi bagi membanteras aktiviti kumpulan bermotosikal yang sering menimbulkan kegusaran masyarakat setempat.
“Anak-anak muda khususnya diminta mematuhi peraturan jalan raya dan tindakan penguatkuasaan akan diambil secara menyeluruh terhadap mana-mana pengguna yang masih enggan mematuhinya,” katanya.