SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Sandakan mematahkan cubaan menyeludup keluar 1,870 paket minyak masak bersubsidi bernilai RM50,000 selepas menahan dua bot di perairan Kampung Bokara Lama di sini, Sabtu.
Berkuatkuasa pada 1 Mac (Ahad), warga asing dilarang daripada membeli minyak masak bersubsidi dalam paket di seluruh negara.
Pengarah Zon Maritim Sandakan Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi ketika bot peronda APMM menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.
“Anggota penguatkuasa mengesan dua bot dalam keadaan mencurigakan sebelum menghampiri bot berkenaan untuk pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan, Ahad.
“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, beberapa individu yang berada di lokasi bertindak melarikan diri ke kawasan berhampiran dan meninggalkan kedua-dua bot tersebut.”
Pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua bot itu menemukan sejumlah 1,870 paket minyak yang dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.
Kedua-dua bot dan barang rampasan kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Rampasan itu, termasuk dua bot beserta enjin dan minyak masak dianggarkan bernilai lebih RM50,000.
Muhamad Suhairy berkata APMM akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta menasihati orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.
Orang ramai juga diseru untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di 089-229504.