KENINGAU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) akan memastikan semua kemudahan dan logistik di sekolah yang dijadikan pusat mengundi berada dalam keadaan terbaik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November ini.
Pengarahnya Datuk Haji Raisin Saidin berkata pihaknya bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta pentadbir sekolah bagi memastikan pusat mengundi dapat beroperasi dengan lancar tanpa menjejaskan pelaksanaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berlangsung serentak.
“JPNS komited membantu SPR memastikan premis pendidikan yang dipilih sebagai pusat mengundi dapat digunakan sepenuhnya.
“Walaupun peperiksaan SPM sedang dijalankan, penyelarasan telah dibuat supaya kedua-dua proses dapat berjalan dengan baik,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Anugerah Inspirasi Pendidikan Daerah Keningau di SJKC Yuk Yin di sini.
Menurutnya, arahan turut dikeluarkan kepada semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negeri bagi memastikan semua sekolah terlibat kekal dalam keadaan optimum termasuk aspek kebersihan, keselamatan, kemudahan asas serta sokongan teknikal.
Raisin berkata pemantauan awal juga dijalankan bagi memastikan kelancaran logistik seperti penyediaan bilik mengundi, laluan keluar masuk pengundi serta kemudahan bagi petugas pilihan raya.
Selain itu, JPNS turut mengambil kira kehadiran calon SPM dan memastikan sebarang pelarasan operasi tidak menjejaskan perjalanan peperiksaan atau keselamatan pelajar.
“Keutamaan kami tetap kepada kebajikan dan keselamatan pelajar namun pada masa sama sekolah juga memainkan peranan penting dalam proses demokrasi negara,” katanya.
Sementara itu, JPNS turut mengaktifkan semula Ops Payung bagi memastikan semua calon SPM 2025 yang terjejas akibat bencana alam dapat menduduki peperiksaan dengan selamat dan teratur.
Raisin berkata inisiatif itu merupakan langkah kesiapsiagaan tahunan menjelang peperiksaan SPM, khususnya menghadapi kemungkinan banjir, tanah runtuh dan cuaca ekstrem di kawasan pedalaman.
“Ops Payung ialah pendekatan melibatkan pelbagai agensi yang bersiap sedia membantu calon SPM yang mungkin terkesan akibat rumah dinaiki air atau jalan terputus. Kami telah mengenal pasti calon berisiko dan menyediakan penempatan sementara di asrama sekolah,” katanya.
Menurutnya, PPD di seluruh Sabah juga telah memetakan lokasi pelajar terlibat bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan cepat termasuk penyediaan pengangkutan, tempat perlindungan dan makanan sekiranya diperlukan.
Selain membantu calon secara individu, katanya, JPNS turut menyediakan pelan kontingensi untuk memindahkan mana-mana pusat peperiksaan yang dikenal pasti berisiko banjir ke lokasi alternatif seperti sekolah berhampiran, dewan masyarakat atau premis kerajaan yang lebih selamat.
“Langkah ini penting bagi memastikan peperiksaan dapat diteruskan tanpa gangguan meskipun berlaku perubahan mendadak dalam keadaan cuaca atau infrastruktur jalan raya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Raisin berharap keputusan peperiksaan SPM tahun ini bagi Sabah akan terus menunjukkan peningkatan seiring usaha berterusan Jabatan Pendidikan Sabah dalam memperkukuh kualiti pendidikan dan pencapaian akademik di seluruh negeri.
“Kita mahu memastikan akses kepada pendidikan tidak terganggu walau dalam apa jua keadaan demi masa depan anak-anak Sabah,” tambahnya.