Kota Kinabalu: Presiden Star Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menuntut semakan bersama segera antara Sabah dan Sarawak terhadap semua undang-undang Persekutuan yang melanggar pembahagian kuasa mengikut Perlembagaan.
Beliau turut menuntut pemulihan sepenuhnya hak hasil negeri termasuk 40 peratus hasil bersih yang sepatutnya dikembalikan kepada Sabah.
Selain itu, beliau menegaskan perlunya jaminan mengikat di Parlimen bagi mengelakkan campur tangan Persekutuan terhadap hak negeri pada masa akan datang.
Timbalan Ketua Menteri itu menuduh Kerajaan Persekutuan secara sistematik melemahkan negeri melalui puluhan tahun penyalahgunaan undang-undang.
“Masih ada undang-undang lain yang mesti dikenal pasti dan dicabar dan sebab itu kajian undang-undang dan perlembagaan yang menyeluruh perlu dilakukan untuk mendedahkan sepenuhnya sejauh mana pencerobohan ini berlaku.
“Pencerobohan ini menjadikan Sabah semakin miskin, lemah dan terlalu bergantung, bercanggah secara langsung dengan janji-janji yang dibuat di bawah MA63,” katanya.
Dalam kenyataan pada Ahad, beliau menyokong kritikan terbaru Yang di-Pertua Negeri Sarawak terhadap campur tangan Persekutuan, namun menegaskan bahawa Sabah lebih parah terjejas akibat pelbagai undang-undang yang merampas kuasa serta hasil yang sepatutnya milik negeri.
“Saya menyambut baik kenyataan Yang di-Pertua Negeri Sarawak mengenai pencerobohan berterusan kuasa Persekutuan ke dalam bidang kuasa negeri
“Pendiriannya terhadap Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 turut mencerminkan kebimbangan yang sudah lama dikongsi oleh kita di Sabah dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Tetapi bagi Sabah, isu ini tidak terhad kepada petroleum dan alam sekitar sahaja. Undang-undang Persekutuan lain juga telah merampas kuasa serta hasil yang sepatutnya milik kita,” kata Jeffrey.
Antara undang-undang tersebut termasuk Akta Laut Wilayah 2012, Akta Perikanan 1985 dan Akta Bekalan Elektrik 1990.
“Akta Laut Wilayah 2012 secara sewenang-wenangnya mengecilkan sempadan maritim Sabah kepada hanya tiga batu nautika sekali gus menghilangkan kawalan kita ke atas sumber luar pesisir.
“Akta Perikanan 1985 yang meletakkan semua kuasa pelesenan marin di bawah Putrajaya telah melemahkan autoriti kita terhadap sumber rezeki pesisir pantai.
Walaupun ada kuasa pelesenan yang dikembalikan sejak kebelakangan ini, namun hakikatnya ia tidak membawa makna,” katanya.
Beliau berkata pengembalian kuasa secara terhad ini tetap membuatkan Sabah terikat dengan undang-undang Persekutuan serta bergantung kepada ihsan kerajaan pusat.
“Apa yang Sabah perlukan bukan sekadar penurunan kuasa secara kecil-kecilan tetapi pemulihan sepenuhnya hak untuk menggubal undang-undang, mengawal selia dan memungut hasil daripada laut kita sendiri.
“Akta Bekalan Elektrik 1990 yang menafikan kedaulatan Sabah terhadap bekalan elektrik kita sendiri menjadikan kita bergantung kepada agensi Persekutuan dan keputusan luar,” katanya.
Beliau menambah undang-undang ini bukanlah satu-satunya yang telah menjejaskan autonomi Sabah.