Sun, 5 Apr 2026
Headlines:
Ibu Zara dibenar sertai prosiding semakan kehakiman inkues
Published on: Thursday, March 19, 2026
Published on: Thu, Mar 19, 2026
By: Cynthia D Baga
Text Size:
Text:
Ibu Zara dibenar sertai prosiding semakan kehakiman inkues
BARISAN peguam kedua-dua pihak berbincang selepas prosiding pada Rabu.
Kota Kinabalu: Ibu kepada allahyarham Zara Qairina Mahathir dibenarkan menyertai sebagai pihak berkepentingan dalam prosiding semakan kehakiman (JR) yang memohon supaya inkues kematian Zara dibatalkan.

Hakim Mahkamah Tinggi Celestina Stuel Galid membenarkan permohonan Noraidah Lamat untuk dimasukkan dalam prosiding tersebut selepas permohonan dibuat melalui peguamnya Shahlan Jufri dan Mohd Syahrulnizam Mohd Salleh.

Advertisement
Permohonan semakan kehakiman itu difailkan oleh Pertubuhan Kebajikan Ekonomi Semangat Bersatu Malaysia (Pembela) yang menamakan Peguam Negara dan Mahkamah Koroner sebagai responden pertama dan kedua.

Noraidah memfailkan permohonannya pada Januari 2026 untuk dimasukkan sebagai pihak berkepentingan.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Semasa prosiding pada Rabu mahkamah mendengar hujahan serta penjelasan lisan daripada pihak pemohon sebelum membenarkan permohonan Noraidah. 

Mahkamah turut mengarahkan pemohon menyerahkan semua dokumen berkaitan prosiding semakan kehakiman kepada Noraidah selewat-lewatnya Rabu atau Khamis.

Advertisement
Mahkamah menetapkan 26 Mac untuk pengurusan kes seterusnya bagi permohonan kebenaran semakan kehakiman.

Dalam notis permohonan dinyatakan bahawa Noraidah wajar dibenarkan didengar dalam prosiding kerana beliau adalah individu yang berkepentingan secara langsung dan terkesan dengan relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu.

Advertisement
Permohonan turut menyatakan Noraidah perlu dibenarkan membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman serta sebarang permohonan substantif yang berkaitan selain diberi hak memfailkan afidavit, hujahan dan dokumen sokongan yang perlu bagi memastikan prosiding berjalan dengan adil.

Dalam afidavit sokongan, dinyatakan bahawa Noraidah adalah waris terdekat kepada allahyarham Zara yang kematiannya menjadi subjek inkues yang ingin dibatalkan oleh pemohon.

Menurut afidavit itu Noraidah mempunyai kepentingan langsung, sah di sisi undang-undang dan substantif terhadap perjalanan, kesinambungan dan keputusan inkues tersebut.

Mereka juga menyatakan bahawa Pembela tidak mempunyai kepentingan langsung, tidak terjejas secara langsung dan merupakan pihak luar kepada prosiding inkues selain mendakwa permohonan semakan kehakiman itu telah difailkan melepasi tempoh masa yang dibenarkan.

Relif yang dipohon iaitu membatalkan keseluruhan inkues dikatakan menjejaskan hak statutori Noraidah untuk mendapatkan inkues yang lengkap, sah dan teratur mengenai punca kematian anaknya.

Afidavit itu turut menyatakan bahawa di bawah Perintah 53 Kaedah 8(1), mahkamah mempunyai budi bicara untuk mendengar mana-mana pihak yang wajar bagi memastikan keadilan walaupun pihak tersebut tidak diserahkan dokumen prosiding sebelum ini.

Pada 21 November 2025 Pengerusi Pembela Datuk Seri Mohammad Jeffry Rosman memfailkan semakan kehakiman dengan menamakan Peguam Negara dan Mahkamah Koroner sebagai responden.

Jeffry berhujah bahawa Sabah mempunyai Ordinan Inkues 1959 sendiri yang sepatutnya diguna pakai berbanding Kanun Tatacara Jenayah Persekutuan.

Menurutnya undang-undang negeri itu masih berkuatkuasa dan mengandungi perlindungan khusus termasuk peruntukan membolehkan koroner memanggil juri dengan separuh ahlinya daripada bangsa yang sama dengan si mati.

Jeffry berkata peruntukan tersebut tidak diambil kira dalam inkues Zara menyebabkan prosiding itu tidak teratur dari segi prosedur dan tidak selaras dengan kerangka perundangan Sabah.

Pertubuhan itu memohon mahkamah membatalkan keseluruhan inkues, mengisytiharkan Ordinan 1959 sebagai undang-undang terpakai serta mengesahkan hak perlembagaan Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Peguam Jul Hamri Jumhani mewakili pembela manakala Peguam Persekutuan Kanan Mohammad Solehheen Mohammad Zaki mewakili Peguam Negara melalui Zoom.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here