TAWAU: Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) pada Jumaat membuat dua laporan polis terhadap seorang pemilik akaun Facebook ‘Farah Yusuff’ susulan hantaran fitnah yang dimuatnaik di media sosial mengaitkan kes tangkapan polis dengan pucuk pimpinan parti itu.
Laporan polis dibuat Ketua Wanita PHRS Norazian Dumit dan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PHRS Jany Sahak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau selepas mendapati hantaran berkenaan berniat jahat, fitnah, tidak berasas dan didakwa memburukkan pucuk pimpinan PHRS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara keseluruhannya.
Menurut Norazian beliau terkejut melihat hantaran fitnah berkenaan yang dimuat naik individu berkaitan ketika sedang melayari facebook sekitar jam 8 malam pada Khamis.
Lebih mengejutkan katanya pemilik akaun facebook berkenaan memuatnaik dengan jelas gambar pucuk pimpinan parti digunakan bersama gambar tangkapan polis dan tahanan di dalam mahkamah.






