KINABATANGAN: Pengusaha ladang mulai sekarang mesti memastikan struktur kolam dalam kawasan masing-masing mempunyai langkah mitigasi sewajarnya, susulan operasi menyelamat gajah baru-baru ini.
Sebanyak 11 ekor gajah, termasuk seekor anak gajah, berjaya diselamatkan selepas terperangkap dalam sebuah kolam di kawasan ladang FGV Cepat Ringgit B berhampiran Hutan Simpan Deramakot di sini, baru-baru ini.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Jafry Ariffin berkata, kejadian itu menimbulkan kebimbangan berhubung kewujudan struktur berbahaya berhampiran koridor pergerakan hidupan liar, khususnya gajah pygmy Borneo yang terancam.
Beliau berkata, maklumat awal daripada Jabatan Hidupan Liar Sabah menunjukkan kejadian berlaku dalam kawasan ladang itu sendiri, namun masih belum dapat dipastikan sama ada gajah berkenaan memasuki kolam tersebut secara sukarela atau terjatuh secara tidak sengaja.
“Sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, saya amat prihatin dengan insiden ini dan lega apabila semua gajah berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan serius atau kematian.
“Tindakan pantas segera diambil oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah bersama pengurusan ladang dengan mengarahkan tebing kolam diratakan bagi membolehkan gajah keluar dengan selamat,” katanya di sini pada Selasa.
Jafry memuji Jabatan Hidupan Liar Sabah, renjer lapangan, kakitangan ladang dan semua pihak terlibat atas tindakan cepat serta profesional dalam mengendalikan situasi berkenaan.
Beliau berkata, insiden itu menjadi peringatan penting bahawa kolam, parit dan struktur berbahaya lain berhampiran koridor hidupan liar terus menimbulkan risiko kepada hidupan liar di Sabah.
Susulan kejadian itu, katanya, jabatan berkenaan telah mengarahkan pengusaha ladang memastikan struktur kolam seumpamanya tidak dibangunkan tanpa langkah mitigasi yang sesuai.
“Sekiranya pembinaan kolam diperlukan, sekurang-kurangnya satu bahagian tebing mesti dibina dengan cerun landai dan bukannya dinding menegak yang curam bagi membolehkan hidupan liar keluar dengan selamat sekiranya kejadian seperti ini berlaku.
“Terdapat juga kemungkinan gajah-gajah itu memasuki kolam berkenaan secara sukarela berikutan cuaca panas ketika ini, memandangkan gajah diketahui mencari air untuk menyejukkan suhu badan melalui aktiviti berkubang dan mandi,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Hidupan Liar Sabah akan terus bekerjasama rapat dengan pengusaha ladang, komuniti tempatan dan rakan pemuliharaan bagi memperkukuh langkah perlindungan hidupan liar serta meningkatkan keupayaan tindak balas pantas.
Katanya, usaha juga akan tertumpu kepada memastikan aktiviti pembangunan berhampiran koridor ekologi dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mampan.
“Melindungi biodiversiti Sabah adalah tanggungjawab bersama.
“Kejayaan operasi menyelamat ini menunjukkan pentingnya laporan awal, kerjasama dan komitmen bersama dalam memastikan spesies terancam ini terus hidup untuk generasi akan datang,” katanya.