LAHAD DATU: Sebanyak 70 kotak mengandungi 24,176 unit pelbagai produk kosmetik dirampas dalam operasi khas di perairan Lahad Datu pada Ahad.
Operasi kira-kira jam 8.05 pagi itu dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu bersama Cawangan Khas Lahad Datu hasil risikan yang dijalankan. PPM Wilayah Empat Sabah dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan pasukan operasi menahan sebuah feri dalam operasi berkenaan.
Advertisement
X500px(H).jpg)
“Hasil pemeriksaan ke atas lori di dalam feri itu menemukan 70 kotak mengandungi pelbagai produk kosmetik yang dipercayai dibawa masuk dari Bongao, Tawi-Tawi, Filipina.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua 24,176 unit produk kosmetik itu tidak mempunyai dokumen atau permit sah daripada Biro Kastam Filipina,” menurut kenyataan itu.
Semua rampasan yang dianggarkan bernilai RM360,986 dibawa ke pangkalan PPM untuk dokumentasi dan siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
Sementara itu, PPM Sabah berkata pihaknya akan terus memperhebat operasi dan pemantauan bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta kemasukan barangan tidak bercukai yang boleh menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara.
Orang ramai turut diminta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau penyeludupan kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.