Kota Kinabalu: Video seekor gajah dengan belalai cedera parah yang tular di media sosial mencetuskan kebimbangan baharu terhadap kemungkinan lebih banyak cubaan memburu gajah pygmy Borneo yang terancam di Sabah untuk gadingnya.
Gajah itu dipercayai berkeliaran di kawasan Felda Kalabakan Selatan berhampiran Tawau, di mana pihak berkuasa kini menjalankan operasi pemantauan.
Terdapat juga dakwaan yang belum disahkan bahawa dua lagi gajah dipercayai menjadi mangsa jerat di kawasan Jalan Danum dan Kalabakan.
Kes terbaharu itu muncul hanya beberapa hari selepas seekor gajah jantan pygmy Borneo ditemukan mati di Hutan Simpan Sungai Pinangah di Tongod pada 17 Mei lalu, dengan sebahagian kepalanya dipotong, dipercayai berkait dengan pengambilan gading haiwan berkenaan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jafry Ariffin berkata, dapatan awal menunjukkan pekerja ladang di Tongod terdengar bunyi kuat seperti letupan kira-kira jam 5.30 petang pada hari sama.
Bagaimanapun, usaha pemeriksaan tidak dapat dilakukan serta-merta berikutan hujan lebat berterusan sepanjang malam, katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Advertisement

Insiden itu mencetuskan kemarahan ramai serta desakan baharu supaya langkah perlindungan hidupan liar diperkukuh dan penguatkuasaan terhadap pemburuan haram serta kekejaman terhadap haiwan diperketat di Sabah.
Jafry berkata, kes gajah cedera itu mendapat perhatian umum selepas penularan video yang menunjukkan haiwan berkenaan mengalami kecederaan jelas pada belalainya.
Beliau berkata, laporan berhubung gajah itu diterima minggu lalu, susulan itu operasi pencarian dan pemantauan lapangan dijalankan pada 13 dan 14 Mei.
“Bagaimanapun, gajah itu tidak dapat dikesan sepanjang operasi dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, berikutan haiwan itu gagal dikesan, usaha menyelamat tidak dapat dilaksanakan ketika itu dan tindakan lanjut bergantung kepada penemuan baharu atau maklumat terkini dari lapangan.
Menurut penilaian awal veterinar, kecederaan pada belalai gajah adalah sangat kompleks dan sukar dirawat, dengan prosedur rekonstruksi mempunyai kemungkinan rendah untuk memulihkan fungsi belalai sepenuhnya.
Katanya, usaha menyelamat sekiranya diperlukan mungkin melibatkan pembedahan bagi membuang tisu rosak atau membaiki semula otot belalai yang koyak, diikuti rawatan rapi, pengurusan makanan dan pemantauan berterusan sehingga dua minggu.
Pemerhatian awal menunjukkan luka berkenaan sudah menampakkan sedikit proses penyembuhan, walaupun penutupan luka itu tidak sempurna.
Pegawai lapangan dari Jabatan Hidupan Liar Sabah kini terus memantau rapat keadaan gajah berkenaan.
“Setakat ini, keadaannya tidak menunjukkan tanda jangkitan serius yang boleh mengancam nyawanya secara serta-merta,” katanya.
Pihak berkuasa belum mengesahkan punca kecederaan itu, namun jerat merupakan antara kemungkinan yang sedang disiasat.
Kemungkinan lain yang turut diteliti termasuk kecederaan akibat objek tajam atau terkena peralatan penuaian di ladang kelapa sawit.
Gajah Borneo kekal sebagai antara spesies hidupan liar paling ikonik dan dilindungi di Sabah.
Pihak berkuasa sedang meneruskan siasatan terhadap kedua-dua kes berkenaan.