Kota Kinabalu: Majikan sektor swasta di Sabah yang menetapkan Ahad sebagai hari rehat pekerja diminta mematuhi ketetapan hari kelepasan berbayar susulan pertindihan tarikh Pesta Kaamatan dan Hari Wesak pada 2026.
Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, Jadual Pertama Ordinan Kelepasan (Sabah Bab 56) telah menetapkan Pesta Kaamatan pada 30 dan 31 Mei 2026, manakala Hari Wesak pula jatuh pada 31 Mei 2026.
“Dalam masa yang sama, Ordinan Buruh Sabah (Sabah Bab 67) menetapkan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong sebagai satu daripada lima hari kelepasan berbayar mandatori yang wajib diberikan oleh majikan kepada pekerja dan tidak boleh diganti dengan hari lain.
“Pesta Kaamatan dan Hari Wesak pula ialah hari kelepasan yang boleh dipilih oleh majikan untuk diberikan sebagai hari kelepasan berbayar mengikut subseksyen 103(1)(a) Ordinan Buruh Sabah.
“Proviso Subseksyen 103(1)(b) turut memperuntukkan bahawa mana-mana hari kelepasan yang jatuh pada hari rehat hendaklah diganti pada hari bekerja berikutnya,” menurut kenyataan itu.
Bagi majikan yang memilih Pesta Kaamatan dan Hari Wesak sebagai hari kelepasan berbayar serta menetapkan Ahad sebagai hari rehat pekerja, ketetapan berikut hendaklah dipatuhi.
Advertisement

“1 Jun 2026 (Isnin) sebagai hari kelepasan berbayar sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong dan tidak boleh diganti, 2 Jun 2026 (Selasa) sebagai hari kelepasan berbayar gantian bagi Pesta Kaamatan yang jatuh pada hari rehat; dan 3 Jun 2026 (Rabu) sebagai hari kelepasan berbayar gantian bagi Hari Wesak yang turut jatuh pada hari rehat.
“Bagaimanapun, gantian hari kelepasan bagi Pesta Kaamatan dan Hari Wesak boleh dipinda kepada hari lain atas persetujuan pekerja seperti diperuntukkan di bawah Proviso Subseksyen 103(2) Ordinan Buruh Sabah.
“Selain itu, pekerja yang menerima gaji tidak melebihi RM4,000 sebulan serta pekerja yang dinyatakan dalam perenggan 2 Jadual Pertama Ordinan adalah layak menerima kadar bayaran gaji bagi kerja pada hari kelepasan berbayar sekiranya diarahkan bekerja oleh majikan,” menurut kenyataan itu.