KIULU: Kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak pernah berdiam diri dalam memperjuangkan hak 40 peratus hasil Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.
Beliau berkata, rakyat tidak seharusnya terpengaruh dengan naratif pembangkang yang mendakwa kerajaan GRS gagal atau tidak bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan perkara berkenaan.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Menurutnya, pendekatan kerajaan negeri yang mengutamakan rundingan, libat urus serta hubungan kerja harmoni dengan Kerajaan Persekutuan kini mula menunjukkan hasil positif.
“Ini terbukti apabila Geran Khas untuk Sabah meningkat daripada RM53 juta ketika pentadbiran Warisan, kepada RM600 juta di bawah kerajaan GRS ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Pesta Kaamatan dan sesi libat urus bersama wakil Mahkamah Anak Negeri serta ketua kampung di Kiulu, Khamis.
Joniston, yang juga Ketua Penerangan GRS, berkata kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor turut memeterai Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas yang disifatkan sebagai langkah strategik sehingga berjaya menjana pulangan berbilion ringgit kepada Sabah.
“Kerajaan GRS tetap teguh dan tidak akan berundur dalam usaha mendapatkan hak 40 peratus hasil negeri. Dalam masa sama, kerajaan juga akan terus mendesak agar Geran Khas Sabah ditingkatkan selain memperluaskan lebih banyak kerjasama strategik dengan Putrajaya,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kiulu itu turut menyeru ketua kampung dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya membantu menjelaskan dasar serta inisiatif kerajaan kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Beliau turut mengumumkan penubuhan sebuah panel bebas bagi menilai prestasi dan keberkesanan ketua kampung di Kiulu dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka.
Katanya, panel berkenaan juga akan menerima dan meneliti sebarang aduan berkaitan prestasi serta kelakuan ketua kampung.
“Kita tidak akan teragak-agak untuk menggantikan mereka yang gagal menjalankan tugas dengan baik,” katanya.
Menurutnya, panel itu akan dianggotai individu berintegriti dan melapor terus kepada pejabat Adun Kiulu sebagai sebahagian daripada usaha memastikan pemimpin akar umbi kekal bertanggungjawab dan berkesan dalam berkhidmat kepada rakyat.