Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di negeri ini susulan kebimbangan terhadap kemungkinan hakisan kuasa negeri dan hak imigresen khas Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata keputusan itu kekal sehingga jaminan diperoleh bahawa pelaksanaannya tidak akan menjejaskan kepentingan negeri dalam apa jua bentuk, khususnya hak istimewa dan kuasa autonomi Sabah dalam hal ehwal imigresen.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Beliau berkata penangguhan itu bertujuan melindungi kuasa kerajaan negeri dalam perkara berkaitan imigresen.
“Kerajaan Sabah melalui mesyuarat Kabinet negeri telah meneliti isu semasa berkaitan pelaksanaan AKPS di Sabah dan mendapati terdapat unsur hakisan kuasa serta hak imigresen khas Sabah melalui aspek perundangan dan operasi penguatkuasaan imigresen oleh AKPS.
“Pelaksanaan AKPS bertujuan mengambil alih peranan Jabatan Imigresen Sabah di pintu masuk negeri ini.
“Pihak berkuasa negeri tidak mempunyai kuasa secara langsung terhadap AKPS, sebaliknya hanya melalui Pengarah Imigresen Sabah seperti diperuntukkan di bawah Subseksyen 6(3) Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 [Akta 860],” katanya dalam kenyataan, Rabu.
Hajiji berkata kerajaan negeri turut mengenal pasti ketidakselarasan antara Akta 860 dan Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] yang berpotensi menjejaskan pelaksanaan serta keberkesanan tugas penguatkuasaan di pintu masuk Sabah oleh AKPS.
Beliau menegaskan kuasa autonomi imigresen Sabah dan Sarawak tidak boleh dirunding kerana pembentukan Malaysia menerusi Perjanjian Malaysia 1963 secara jelas mengiktiraf kuasa autonomi kedua-dua negeri dalam perkara imigresen.
Sehubungan itu, katanya, penangguhan berkenaan perlu bagi memastikan perlindungan perlembagaan berkaitan kedudukan Sabah dalam hal ehwal imigresen terus terpelihara pada setiap masa.
Parti-parti politik di Sabah, termasuk pembangkang, serta Jabatan Imigresen Sabah turut menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan AKPS.