LAHAD DATU: Tindakan pantas Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor berjaya memulihkan akses di jalan utama antara Lahad Datu dan Tawau yang runtuh akibat kegagalan benteng jalan, pada Jumaat.
Laluan lencongan sementara siap dibina pada jam 6.30 petang, sekali gus membolehkan kenderaan kembali menggunakan laluan itu selepas lebih tiga jam ditutup.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen Mohd Dzul berkata, kejadian berlaku di CH97+000 berhampiran Silam pada jam 2 petang apabila kegagalan benteng merosakkan kira-kira 50 meter jalan.

“Tindakan segera diambil untuk menyambung semula laluan bagi mengurangkan kesesakan yang menjejaskan pengguna jalan raya antara Lahad Datu dan Tawau.
“Kerja penambakan jalan siap pada jam 6.30 petang dan JKR akan terus memantau kawasan itu dari semasa ke semasa bagi memastikan laluan kekal selamat digunakan orang ramai,” katanya.
Firuz berkata, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan punca kegagalan benteng masih dalam siasatan.
Terdahulu, kejadian itu memaksa penutupan penuh jalan berkenaan, menyebabkan kenderaan terkandas di kedua-dua arah berikutan tiada laluan alternatif.
Pengguna jalan raya dari daerah berhampiran, termasuk Semporna, Kunak, Sandakan dan Kota Kinabalu turut terjejas akibat gangguan itu.
Gambar dan video kejadian tular di media sosial dengan orang ramai menasihatkan pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan serta berhati-hati.