Kota Kinabalu: Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) Datuk Jasnih Daya memberi amaran bahawa Sabah kini sedang berdepan dengan kecemasan kritikal penyakit kardiovaskular.
Beliau berkata peningkatan berterusan penyakit jantung yang mengancam nyawa – didorong oleh masalah hipertensi dan diabetes yang semakin berleluasa – membawa infrastruktur kesihatan negeri ke ambang krisis sekali gus memerlukan campur tangan segera dan radikal bagi mengelakkan keruntuhan kesihatan awam.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Dengan kemudahan perubatan tempatan yang bergelut menampung lambakan pesakit, Jasnih memberi amaran bahawa kebergantungan semasa terhadap Kuala Lumpur tidak lagi mampan dan menyifatkan keadaan itu sebagai cabaran utama terhadap kelangsungan negeri.
Ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersejarah antara Kumpulan Yayasan Sabah dan Institut Jantung Negara (IJN) pada Isnin, Jasnih mendedahkan bahawa peningkatan penyakit tidak berjangkit mewujudkan keperluan mendesak untuk sebuah kemudahan rawatan jantung khusus bertaraf tinggi di Sabah.
Katanya, ketika ini “cukai geografi” yang ditanggung pesakit jantung Sabah terbukti membawa maut.
“Ramai terpaksa menempuh perjalanan yang memenatkan dan mahal ke IJN di Kuala Lumpur, menyebabkan trend pesakit mendapatkan rawatan pada tahap lewat semakin membimbangkan.
“Lebih merisaukan ada pesakit hanya mendapatkan rawatan apabila sudah terlambat yang bukan sahaja meningkatkan kos rawatan tetapi turut meningkatkan risiko komplikasi maut,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa cadangan pembinaan hospital IJN di Sabah bukan satu kemewahan sebaliknya satu keperluan strategik bagi mengelakkan rakyat Sabah meninggal dunia akibat kekurangan akses kepada rawatan pakar.
Bagi menangani krisis itu, tapak seluas 10 ekar di Likas diwartakan untuk pembangunan hospital jantung baharu terbabit.
Kemudahan itu direka bagi memperkukuhkan secara signifikan peranan Pusat Jantung Sabah di Queen Elizabeth II Hospital yang menurut Jasnih kini beroperasi dengan kapasiti terhad dan tidak mampu memenuhi keperluan penduduk yang semakin meningkat.
“Dengan adanya hospital jantung bertaraf tinggi di Sabah, kita dapat menghapuskan kebergantungan kepada kemudahan luar, mengurangkan kos perjalanan dan paling penting membolehkan akses pantas kepada rawatan pakar ketika setiap saat amat berharga,” katanya.
Menyedari bahawa sesebuah hospital hanya berkesan melalui tenaga kerjanya, satu lagi MoU ditandatangani antara Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) dan Kolej Universiti IJN (IJN-UC) bagi melahirkan pakar perubatan Sabah generasi baharu.
Inisiatif itu sudah pun bermula dengan 15 pelajar Sabah kini sedang menjalani latihan sebagai pembantu penjagaan pesakit di Kuala Lumpur. Jasnih turut menyatakan komitmen kukuh untuk memperluaskan program berkenaan bagi memastikan Sabah membangunkan “benteng perubatan” sendiri yang terdiri daripada tenaga profesional berkemahiran tinggi untuk menangani krisis kesihatan negeri yang semakin meruncing.
“Kerjasama ini bukan sekadar mengenai penjagaan kesihatan, ia juga mengenai kemajuan masa depan dan kesejahteraan rakyat kita,” katanya, sambil menandakan era baharu apabila Sabah mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab terhadap kesihatan jantung rakyatnya.