Mon, 18 May 2026
Headlines:
Pusat Pembelajaran Kebombaan Komuniti pertama di Sabah
Published on: Saturday, May 16, 2026
Published on: Sat, May 16, 2026
By: Jonathan Nicholas
Text Size:
Text:
Pusat Pembelajaran Kebombaan Komuniti pertama di Sabah
NOR Hisham menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pihak berkepentingan.
PUTATAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melancarkan Pusat Pembelajaran Kebombaan Komuniti (CFLC) pertama di Sabah di Balai Bomba dan Penyelamat Putatan, Khamis, sebagai langkah memperkasa peranan balai bomba sebagai hab pembelajaran berasaskan komuniti.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Ts Nor Hisham Mohammad berkata, pelancaran pusat itu menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjaya menghimpunkan agensi kerajaan serta rakan sektor swasta menerusi model kerjasama Public-Private-People Partnership (4P).

Advertisement
“CFLC ini bukan sekadar sebuah fasiliti, tetapi pusat ilmu untuk masyarakat mempelajari kemahiran praktikal keselamatan kebakaran dan menjadi responden awal yang tidak panik, sebaliknya tahu apa yang perlu dilakukan sebelum ketibaan anggota bomba.

“Secara logiknya, siapa yang tiba dahulu di lokasi kejadian? Sudah tentu orang awam di kawasan itu. Sebab itu kita perlu melengkapkan komuniti dengan ilmu untuk bertindak awal kerana lima minit pertama boleh menentukan antara hidup dan mati,” katanya. Beliau berkata penubuhan CFLC Putatan mencerminkan transformasi lebih luas terhadap fungsi balai bomba daripada sekadar unit tindak balas kecemasan kepada pusat pendidikan awam berkaitan pencegahan dan keselamatan kebakaran.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Nor Hisham turut merujuk beberapa insiden kebakaran di Sabah, termasuk kebakaran besar di Sandakan, sebagai peringatan terhadap risiko di kawasan penempatan padat penduduk, di mana kebakaran mudah merebak dengan pantas.

“Ramai memiliki alat pemadam api di rumah, tetapi apabila berlaku kebakaran mereka lari kerana tidak tahu cara menggunakannya. Di CFLC, kami melatih mereka sehingga benar-benar yakin,” katanya.

Advertisement
Pusat itu dibangunkan dengan sumbangan tujuh syarikat swasta iaitu TCT Trading Kota Kinabalu, JSK Mantanani, WSG Properties Sdn Bhd, Innopro Network Sdn Bhd, Rekawarna Enterprise, SBH Kibbing Solar New Materials (M) Sdn Bhd dan Kejuruteraan Jutakaya Sdn Bhd.

Syarikat terbabit menyediakan pelbagai kemudahan, termasuk khemah simulasi menyelamat, peralatan kebakaran kawalan jauh, rumah asap, sistem penyejukan mudah alih, bahan pendidikan dan kerja landskap.

Advertisement
“Pendekatan ini bukan sahaja menjadikan program lebih berkesan, tetapi turut memupuk tanggungjawab bersama dalam pendidikan keselamatan kebakaran dalam komuniti.

“Saya tidak mahu CFLC ini menjadi projek gajah putih. Bawa murid sekolah, persatuan penduduk dan masyarakat datang mencuba serta berinteraksi dengan peralatan kebombaan supaya mereka memahami cara menangani kebakaran,” katanya.

Dari penghujung 2025 hingga Mei 2026, CFLC Putatan merekodkan 18 lawatan dan program melibatkan 1,192 peserta daripada agensi awam, organisasi swasta dan institusi pendidikan awal kanak-kanak.

Pusat itu turut menjadi platform memperkukuh penglibatan golongan muda menerusi program Kelab Bomba Cilik untuk kanak-kanak prasekolah dan Bomba Junior bagi murid sekolah rendah.

Antara 2023 hingga 2025, lebih 2,000 pasukan Kelab Bomba Cilik ditubuhkan di seluruh negara dengan purata keahlian tahunan melebihi 66,000 pelajar.

Sehingga Disember 2025, sebanyak 88 pasukan Bomba Junior diwujudkan dengan 2,741 ahli. Di Sabah sahaja, terdapat 202 Kelab Bomba Cilik dan 16 pasukan Bomba Junior ketika ini.

Nor Hisham berkata pihaknya turut merancang memperluas pusat seumpama itu di seluruh negara dengan sasaran 16 CFLC diwujudkan di bawah pelan strategik kementerian dan JBPM.

Menurutnya, beberapa pusat telah siap menggunakan peruntukan kerajaan manakala selebihnya dibangunkan menerusi kerjasama berasaskan CSR.

Menyentuh aspek kesiapsiagaan lebih menyeluruh, beliau berkata JBPM sedang menilai keupayaan operasinya di Sabah, termasuk kemungkinan menambah helikopter ringan untuk pemantauan banjir dan tanah runtuh khususnya di kawasan pedalaman.

Beliau turut menyentuh pendidikan keselamatan air memandangkan faktor geografi Sabah mendedahkan masyarakat kepada risiko lemas.

“Berdasarkan data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), apabila seseorang tahu berenang, kebarangkalian lemas boleh dikurangkan sehingga 83 peratus,” katanya, menambah latihan asas keselamatan kini diperkenalkan kepada pelajar.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai bertindak lebih bertanggungjawab dan mengelakkan pembakaran terbuka.

“Jika berlaku kebakaran, jangan tunggu sehingga api merebak sebelum menghubungi pihak bomba. Bertindak segera. Dan jika perlu melakukan pembakaran, pastikan ia terkawal sepenuhnya dan jangan membakar secara sembarangan,” katanya.

Beliau berkata laporan awal amat penting bagi mengurangkan kerosakan selain meringankan beban anggota bomba dan komuniti terjejas.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here