DALIAN: Sabah berpotensi menjadi hab pemasangan kenderaan komersial bagi rantau Borneo susulan kerjasama strategik antara pengeluar automotif China, Dongfeng dan Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC), yang dijangka mewujudkan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan serta memperkukuh sektor industri dan logistik negeri.
Kerjasama itu merangkumi cadangan pembinaan kilang pemasangan di Sabah yang disasarkan menjadi hab strategik bagi pasaran Sabah, Sarawak dan Indonesia.
Advertisement

Cadangan tersebut dibincangkan dalam persidangan video antara pengurusan Dongfeng Motor di Wuhan, China dengan delegasi Sabah di Dalian yang diketuai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Ewon Benedick.
Dalam persidangan itu, pengurusan kanan Dongfeng secara rasmi memohon sokongan dan pemudah cara daripada kerajaan Sabah bagi merealisasikan usaha sama pembinaan kilang pemasangan bersama KTC di negeri itu.
Ewon menyambut baik cadangan pelaburan berkenaan dan menyifatkannya selaras agenda kerajaan negeri dalam memacu pembangunan industri dan perdagangan.
Beliau berkata kerajaan negeri mencadangkan Taman Perindustrian Kota Belud sebagai lokasi berpotensi bagi pembinaan kilang tersebut.
“Kita mengalu-alukan pelaburan seperti ini kerana ia selaras usaha Sabah memperkukuh pembangunan industri, logistik dan aktiviti perdagangan.
“Kilang pemasangan yang dicadangkan bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan, malah memudahkan pemindahan teknologi, latihan kemahiran dan pembangunan bakat dalam industri automotif,” katanya dalam ucapan tahniah semasa persidangan video itu.
Turut hadir bagi pihak Sabah ialah Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) Datuk Rosmadi Sulai, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Thomas Logijin serta Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Sabah Datuk Donald Peter Mojuntin.
Dongfeng Motor Import & Export Co Ltd pula diwakili Pengurus Besar Yu Tao, Penolong Pengurus Besar Zhang Yifan, Pengarah Rantau Asia Pasifik RHD Cheng Xiao dan Pengarah Jualan Pasaran Malaysia Zhou Yexiong.
Sementara itu, Pengarah Urusan KTC Dexter Lau berkata syarikat itu telah memperoleh pembelian bernilai RM30 juta daripada Dongfeng sebagai fasa awal kerjasama berkenaan.
Beliau berkata Dongfeng, antara pengeluar kenderaan terbesar China, menyasarkan kedudukan tiga teratas dalam pasaran kenderaan komersial di Malaysia Timur dalam tempoh dua tahun.
“Sabah akan memasuki fasa baharu pembangunan industri yang memberi tumpuan kepada pemasangan trak ringan dan jentera berat bagi menyokong pertumbuhan perniagaan serta ekosistem logistik negeri.
“Ia juga bakal menjadi detik bersejarah bagi rantau Borneo apabila Sabah berpotensi menjadi lokasi kilang pemasangan kenderaan pertama yang memenuhi pasaran seluruh pulau ini,” katanya.
Dexter berkata pelaburan dan operasi pemasangan yang dicadangkan dijangka mewujudkan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah dalam sektor operasi, teknikal dan pemasangan kenderaan.
Beliau turut berkata Dongfeng komited memindahkan teknologi serta menyediakan latihan teknikal kepada tenaga kerja tempatan bagi meningkatkan keupayaan pembuatan automotif Sabah.
Menurutnya, inisiatif itu turut melengkapi strategi Ekonomi Biru dan pembuatan Sabah dengan memanfaatkan infrastruktur perkapalan dan pelabuhan negeri untuk eksport produk ke rantau Asean.
Terdahulu, wakil Dongfeng berkata syarikat itu memilih KTC sebagai rakan strategik kerana kemampuan korporat kumpulan itu yang kukuh serta rangkaian logistiknya yang meluas di seluruh Malaysia.
Mereka turut yakin dengan sokongan kerajaan Sabah dan kepakaran tempatan KTC, Dongfeng mampu muncul sebagai jenama kenderaan komersial China utama di rantau ini dalam tempoh tiga tahun serta berada dalam kelompok tiga teratas pemain industri kenderaan komersial di Malaysia Timur.