Kota Kinabalu: Lapan individu termasuk dua kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan UMS dekat Kampung Delima Sulaman, di sini, pada petang Sabtu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.29 petang menerusi talian MERS999.
Seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dan tiba pada jam 5.50 petang.
Komander Operasi PBK I Masri Gari berkata kemalangan itu membabitkan sebuah Toyota Fortuner, Proton Saga dan Proton Exora.
Menurut laporan, kesemua lapan mangsa mengalami kecederaan dalam kejadian berkenaan.
Mangsa terdiri daripada seorang pemandu lelaki Toyota Fortuner, seorang pemandu lelaki Proton Saga serta enam penumpang Proton Exora iaitu seorang lelaki, tiga wanita dan dua kanak-kanak.
Pasukan bomba mengeluarkan mangsa sebelum pasukan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dan Kementerian Kesihatan memberikan rawatan awal di lokasi kejadian.
Semua mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut menggunakan ambulans EMRS, Kementerian Kesihatan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Operasi ditamatkan pada jam 6.53 petang selepas pasukan bomba mengesahkan kawasan berada dalam keadaan selamat.