PAPAR: Masalah kesesakan lalu lintas di laluan Sabindo-Kinarut bakal selesai menerusi pelaksanaan Projek Naik Taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke SMK Kinarut, yang kini telah bermula.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, projek berimpak tinggi itu merupakan antara inisiatif utama kerajaan bagi menangani kesesakan kronik di laluan berkenaan yang sekian lama membebankan pengguna.
Advertisement

“Projek ini akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun bermula 30 Mac 2026 hingga 29 Mac 2028, dengan penyerahan rasmi Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor telah disempurnakan hari ini.
“Pelaksanaan projek ini amat penting bagi meningkatkan kapasiti jalan serta melancarkan aliran trafik di laluan Sabindo-Kinarut yang sering mengalami kesesakan, khususnya pada waktu puncak,” katanya semasa sidang media Taklimat Status Projek-Projek Infrastruktur Utama Parlimen Papar, di sini, Isnin.
Hadir sama Adun Limbahau, Datuk Juil Nuatim; Adun Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Pegawai Daerah Papar, Mohamad Mohd Ali.
Armizan berkata, skop projek itu juga melibatkan naik taraf jalan sedia ada daripada dua lorong kepada jalan berkembar empat lorong dua hala bagi memastikan kelancaran aliran trafik kenderaan.
Selain itu katanya, projek itu turut merangkumi pembinaan sebuah jejantas pejalan kaki, pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat serta menaik taraf tiga persimpangan bulatan kepada persimpangan berlampu isyarat.
“Projek yang dibiayai oleh Kementerian Kerja Raya Malaysia dan dilaksanakan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah ini juga melibatkan penyediaan tiga perhentian bas, dua hentian motosikal serta laluan berbumbung ke sekolah bagi meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama erat antara semua agensi kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar tanpa kelewatan.
Menurutnya, antara perkara kritikal yang perlu disegerakan ialah proses pengambilan balik tanah yang melibatkan 43 lot dengan 24 struktur sedia ada, selain pengalihan utiliti seperti bekalan elektrik, air dan telekomunikasi.
“Saya tidak mahu kelewatan dalam menyelesaikan perkara asas ini akan menyebabkan kerja fizikal tidak dapat dimulakan segera kerana saya sebelum ini terlibat dalam usaha memastikan projek ini mendapat peruntukan sejak 2021 ketika berkhidmat di Pejabat Ketua Menteri Sabah.
“Dengan sokongan Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor), projek ini dimasukkan dalam senarai projek pembangunan Kerajaan Persekutuan pada 2023 sebelum diumumkan pelaksanaannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Mei 2023 ketika lawatannya ke Kinarut, Papar.
Armizan berkata, selain projek menaik taraf Jalan Lok Kawi, tiga lagi projek infrastruktur turut diberi perhatian dalam usaha memperkukuh pembangunan kawasan Papar iaitu Projek Membina Bypass Jalan Pengalat-Papar, yang kini berada di peringkat persiapan untuk tender dan dijangka menjadi laluan alternatif penting bagi mengurangkan kesesakan trafik.
Selain itu, katanya, Projek Pembinaan SMK Gana, Papar juga sedang dalam proses persiapan tender bagi menampung keperluan pendidikan yang semakin meningkat di kawasan ini, khususnya anak-anak di Dewan Undangan Negeri (Dun) Limbahau.
Sementara itu, Projek Pembinaan Jambatan Papar 2 di KM20.4 masih di peringkat cadangan, namun disifatkan sebagai komponen penting dalam perancangan jangka panjang untuk meningkatkan kecekapan rangkaian jalan raya di Papar.
“Kesemua projek ini saling melengkapi dalam usaha menyelesaikan isu kesesakan dan merancakkan pembangunan kawasan Papar secara menyeluruh,” katanya.