KENINGAU: Polis menahan seorang lelaki tempatan kerana disyaki memiliki senjata api buatan sendiri dan senapang angin tanpa lesen dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Kuala Punteh, Sook, malam Isnin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau, DSP Alizam Dalaman berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 10 malam Isnin menerusi Ops Laras yang dijalankan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Keningau.
Advertisement

Menurut beliau, suspek berusia 44 tahun yang bekerja sebagai petani itu ditahan di rumahnya dan hasil pemeriksaan menemui dua laras senjata buatan sendiri dikenali sebagai bakakuk, dua laras senapang angin dan 20 pellet peluru di dalam bilik tidur rumah berkenaan.
“Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang lesen sah untuk memiliki senjata berkenaan. Suspek juga mengaku senjata bakakuk tersebut diwarisi daripada arwah bapanya, manakala senapang angin itu dibeli daripada kenalan di negara jiran,” katanya.
Tambahnya, suspek juga mendakwa senjata tersebut disimpan untuk tujuan memburu.
Suspek ditahan reman sehingga 9 Mei untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 atas kesalahan memiliki senjata api tanpa kebenaran.