Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan hanya tertumpu kepada penguatkuasaan tetapi turut memberi penekanan kepada pendidikan, pencegahan dan pembudayaan integriti dalam membanteras rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa.
Pengarah SPRM Sabah Mohd Fuad Bee Basrah berkata antara program pencegahan itu ialah Kempen Keep Malaysia Clean (KMC) yang berpaksikan tiga tonggak utama iaitu ‘nilai murni’, ‘masyarakat murni’ dan ‘persekitaran murni’.
Advertisement
X500px(H).jpg)
“Tiga tonggak ini membawa mesej yang lebih luas, bukan sahaja menjaga kebersihan persekitaran tetapi juga membersihkan negara daripada budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Negara yang bersih daripada rasuah akan melahirkan masyarakat yang lebih yakin, ekonomi yang lebih kukuh dan sistem pentadbiran yang lebih dipercayai,” katanya pada Program Court Talk: Communicator dan Media serta pertandingan pickleball antara SPRM dan media, di sini, pada Sabtu.
Di Sabah, Mohd Fuad berkata, pelbagai inisiatif pencegahan lain turut dilaksanakan termasuk program advokasi bersama agensi kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan dan komuniti akar umbi.
“SPRM turut memperkukuh program pendidikan antirasuah serta program kesedaran integriti melibatkan belia dan masyarakat setempat,” katanya.
Mengenai Program Court Talk: Communicator dan Media, katanya, ia menjadi platform penting dalam memperkukuh kefahaman masyarakat mengenai peranan institusi kepimpinan negeri, penguatkuasa dan media dalam memastikan tadbir urus negara sentiasa telus dan berintegriti.
“Kerjasama strategik antara SPRM dan media amat penting dalam menyampaikan maklumat sahih berkaitan usaha pencegahan rasuah kepada rakyat.
“Pengamal media mempunyai pengaruh besar dalam membentuk persepsi masyarakat serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap usaha penguatkuasaan dan pencegahan rasuah.
“Dalam era digital hari ini, media menjadi saluran utama untuk memperluaskan kempen kesedaran integriti dan budaya antirasuah kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Mengenai pertandingan pickleball, Mohd Fuad berkata penganjuran aktiviti seperti itu bukan sekadar mengeratkan hubungan strategik antara SPRM dan media, malah menjadi platform membina semangat kerjasama, disiplin, integriti dan kesukanan.
Ketua Cawangan Komunikasi dan Perhubungan Awam, Bahagian Komunikasi Strategik SPRM Badrilla Jamius dan Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Mariah Doksil turut berkongsi pandangan semasa sesi dialog Program Court Talk: Communicator dan Media.
Seramai 30 pengamal media hadir pada program itu.