LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua lelaki warga Filipina yang disyaki membawa 35 batang kayu bergergaji di perairan Kunak, Sabtu.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali, berkata tangkapan dibuat pada jam 5 pagi semasa Ops Sejahtera dan Ops Tiris di 0.3 batu nautika barat daya Jeti Pangkalan Kunak susulan risikan.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Katanya, sebuah kapal merah yang mencurigakan dikesan, dengan beberapa kayu dilihat terapung dan diikat pada kapal itu.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan dua warga Filipina berusia 33 dan 51 tahun yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.
“Pemeriksaan lanjut menemui 35 keping kayu gergaji dipercayai dicuri dari kawasan Pulau Timbun Mata,” katanya sambil menambah ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah.
Kes disiasat di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 dan Enakmen Hutan Sabah 1968 kerana memiliki kayu bergergaji tanpa kebenaran yang sah, serta di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.