Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 36 tahun dipenjara enam tahun dan didenda RM10,000 atau dua tahun penjara jika gagal membayar denda itu selepas didapati melakukan pecah amanah jenayah membabitkan jumlah RM105,868.75.
Hakim Mahkamah Sesyen Zaini Fishir menjatuhkan hukuman itu terhadap Melwin Kapin yang mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya pada Jumaat.
Advertisement
_E.jpg)
Melwin melakukan kesalahan itu dengan melanggar kepercayaan yang diberikan kepadanya sebagai Pembantu Tadbir yang diamanahkan mengendalikan hasil kutipan harian, yang sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun bank atas nama Lembaga Sukan Negeri Sabah namun gagal berbuat demikian.
Kesalahan itu dilakukan antara Januari hingga Jun 2023 di Kompleks Sukan Kota Kinabalu di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun serta boleh dikenakan sebatan atau denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan Melwin menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap.
Advertisement

Semasa mitigasi, Melwin memberitahu mahkamah bahawa dia mempunyai masalah kesihatan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon mahkamah mengenakan hukuman pencegahan dengan menyatakan kesalahan terbabit adalah serius kerana melibatkan jumlah wang yang besar.
Mahkamah diberitahu bahawa pada awal Oktober 2023, pengadu bersama Bahagian Kewangan menjalankan audit kewangan tahunan dan mendapati jumlah yang direkodkan dalam akaun bank Kompleks Sukan Kota Kinabalu tidak sepadan dengan jumlah kutipan harian.
Siasatan dan penemuan audit mendedahkan bahawa Melwin, yang bertanggungjawab mengendalikan bayaran sewaan kemudahan di kompleks berkenaan gagal memasukkan RM105,868.75 antara 16 Januari 2023 hingga 22 Jun 2023 ke dalam akaun bank kompleks terbabit.
Dia dipercayai menggunakan wang itu untuk kegunaan peribadi dan gagal melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sewajarnya.
Kontraknya berakhir pada Oktober 2023 selepas itu pengadu membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Siasatan lanjut mendapati Melwin telah melakukan pecah amanah jenayah dengan tidak mengkreditkan hasil kutipan harian berjumlah RM105,868.75 ke dalam akaun bank Lembaga Sukan Negeri Sabah sebaliknya menggunakan wang berkenaan untuk kepentingan peribadi semasa bekerja di situ.