Sun, 12 Apr 2026
Headlines:
Dakwa dipinggir berpuluh tahun: Bencana serlahkan nasib penduduk Paitan
Published on: Saturday, April 11, 2026
Published on: Sat, Apr 11, 2026
By: Lorena Binisol
Text Size:
Text:
 Dakwa dipinggir berpuluh tahun: Bencana serlahkan nasib penduduk Paitan
SELURUH bangunan asrama itu hangus pada jam 2 pagi 5 April lalu di Kg Sulit Paitan.
PAITAN: Asrama St Nicholas di sini sejak siap dibina pada 2017 menjadi sinar harapan kepada ramai pelajar miskin yang perlu tinggal berhampiran SMK Simpangan untuk meneruskan pendidikan mereka – hasil sumbangan Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) sebagai sebahagian daripada inisiatif khidmat masyarakat dengan kos RM492,500.

Ia bahkan terselamat daripada banjir terburuk di Kampung Sulit awal tahun ini, namun hanya dua batang lilin sudah cukup untuk memusnahkannya menjadi abu pada pukul 2 pagi, malam menjelang Ahad Paskah.

Advertisement
Dua pelajar perempuan yang pulang lebih awal ke asrama kosong itu selepas kebanyakan penghuni lain pulang ke rumah masing-masing, berasa takut gelap lalu menyalakan lilin sebelum tertidur.

Asrama berukuran 80 kaki panjang dan 30 kaki lebar itu menjadi pilihan sehingga 80 pelajar berbanding asrama kerajaan yang sempit dan terhad kapasitinya.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Daily Express mendedahkan asrama itu mungkin masih wujud hari ini sekiranya kerajaan negeri yang silih berganti sejak 2005 memberi perhatian kepada pelbagai rayuan untuk bekalan elektrik ke kampung yang mempunyai lebih 300 penduduk itu.

“Sehingga kini, masih tiada petunjuk bahawa bekalan elektrik akan dipasang dalam masa terdekat. Namun, penduduk kampung mempunyai bekalan air,” kata Sister Dorothy Laudi, penjaga asrama yang memulakan usaha dengan sebuah tadika pada 2005.

Advertisement
Beliau berkata lampu solar adalah pilihan ideal namun tiada penyumbang. “Penduduk kampung juga tidak mempunyai generator. Satu-satunya generator rosak apabila banjir melanda baru-baru ini.

“Ia ditenggelami air dan tidak lagi boleh digunakan,” katanya.

Advertisement
Kebakaran itu menyerlahkan cabaran dihadapi komuniti luar bandar yang terpaksa bergantung kepada lilin kerana ketiadaan bekalan elektrik, sekali gus berdepan risiko akibat tragik.

ASRAMA itu ditenggelami semasa banjir awal tahun ini.

“Malangnya saya berada di Kota Kinabalu ketika kejadian. Oleh kerana pelajar lain telah pulang ke kampung masing-masing, hanya dua pelajar itu berada di asrama.

“Mereka takut dan menyalakan lilin sebelum tertidur,” kata Sister Dorothy sambil memaklumkan kedua-dua pelajar tidak cedera selepas penduduk kampung segera menyedari kejadian dan membawa mereka ke tempat selamat.

“Saya percaya lebih ramai pelajar baharu akan memerlukan penginapan,” katanya, khususnya mereka dari kampung terpencil dengan kemudahan terhad.

Beliau berkata asrama itu diwujudkan untuk menyediakan tempat tinggal kepada kanak-kanak luar bandar kurang berkemampuan.

Katanya, sumbangan masyarakat yang ditempatkan di asrama turut musnah bersama katil, peralatan dapur dan kemudahan lain dalam kebakaran tersebut.

Beliau berkata pembinaan semula asrama bersaiz sama (80 kaki panjang dan 30 kaki lebar) memerlukan peruntukan besar, lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga bahan binaan yang ketara.

Sister Dorothy merayu bantuan segera daripada masyarakat dan kerajaan untuk membina semula asrama berkenaan, selain berharap bekalan elektrik akhirnya dapat disalurkan.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Sister Dorothy di Bank Simpanan Nasional (BSN), nombor akaun 1299541100056063, atas nama Amalia @ Mary Dorothy Laudi.

Sementara itu, seorang penduduk yang enggan dikenali berkata mereka percaya, sama ada benar atau tidak, bahawa rayuan mereka telah diabaikan oleh wakil rakyat sebelum ini kerana perbezaan kepercayaan.

“Bagaimana lagi hendak dijelaskan mengapa kami tidak bernasib baik seperti penduduk di seberang sungai yang telah menikmati bekalan elektrik selama ini?

“Kami berharap Ketua Menteri dapat mengarahkan wakil rakyat sekarang ini yang mengetahui masalah ini sejak berkhidmat sejak zaman kerajaan Barisan Nasional supaya memastikan kami akhirnya mendapat bekalan elektrik sebagai hak asas.

“Saya juga berharap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat melawat kampung kami pada masa akan datang untuk melihat sendiri bahawa masih ada kampung seperti kami yang terpinggir selama ini,” katanya.

Beliau berkata terdapat beberapa lagi kampung yang masih tidak mempunyai bekalan elektrik dengan jumlah penduduk mencecah lebih 1,000 orang.

 
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here