LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan kedaulatan negeri sambil memperkukuh kawalan keselamatan di seluruh Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone).
Komandernya Datuk Victor Sanjos berkata Sabah kekal sebagai sebahagian daripada Malaysia dan sebarang perkara berkaitan tuntutan luar terhadap negeri akan ditangani oleh Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun beliau berkata Esscom akan terus memantau sebarang perkembangan secara rapi selain memperkukuh pengumpulan risikan bagi memastikan kestabilan di seluruh negeri.
“Esscom bersama agensi lain kekal memberi tumpuan kepada usaha memelihara keamanan dan mengekalkan keselamatan awam di seluruh Esszone. Ketika ini tahap ancaman keselamatan kekal rendah namun pemantauan berterusan dilaksanakan sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan Esscom sempena sambutan ulang tahun ke-13.
Advertisement





