TAMPARULI: Seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun melecur pada tangan kanannya ketika menyelamatkan diri dalam kebakaran sebuah rumah berhampiran Tamparuli Point di sini, petang Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Kurong Ak Beki berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 4.21 petang.
Seramai sembilan anggota dikerah ke lokasi kejadian beserta satu jentera dan satu kenderan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati terdapat satu rumah jenis tidak kekal musnah 90 peratus akibat kebakaran. Seorang mangsa lelaki warga emas turut dilaporkan cedera akibat melecur pada bahagian tangan kanan dan diberikan rawatan,” katanya.
Kurong berkata, mangsa kemudian dihantar ke hospital Tuaran menggunakan EMRS untuk rawatan lanjut.
“Pasukan bomba bertindak memadam api menggunakan dua hos dengan satu aliran air sehingga api berjaya dikawal jam 4.59 petang. Operasi ditamatkan pada jam 5.41 petang manakala punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Di BELURAN, sebuah rumah jenis tidak kekal di Kampung Muanad 3 di sini musnah dalam kebakaran pada pagi Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9.53 pagi.
Sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera FRT dan kenderaan utiliti Pajero dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 10.03 pagi.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air yang diperoleh daripada jentera bomba serta sumber air terbuka iaitu kolam ikan berhampiran.
“Operasi dikawal pada jam 10.18 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.45 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi.
Tiada mangsa dilaporkan dan punca kejadian sebenar masih dalam siasatan, “ katanya, Khamis.
Operasi turut dibantu Sabah Electricity dan Jabatan Air Negeri Sabah.