Tenom: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan berusaha mempercepatkan proses pampasan serta rundingan harga melibatkan sebuah gereja yang terjejas akibat pelaksanaan projek tebatan banjir dekat sini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap Datuk Jamawi Jaffar berkata bangunan gereja berkenaan terpaksa dirobohkan kerana berada di laluan jajaran projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan sekali gus memerlukan pencarian tapak baharu serta pembinaan bangunan gereja pada masa akan datang.
Menurut beliau pihaknya berharap jurunilai yang telah dilantik dapat mengemukakan laporan penilaian dengan segera bagi membolehkan rundingan harga dimuktamadkan secepat mungkin.
“Saya mengharapkan supaya jurunilai yang telah dilantik dapat memberikan laporan segera kepada pihak kami supaya rundingan harga dapat dimuktamadkan dengan sebaiknya.
“Ini bagi memudahkan pihak pengurusan gereja mencari tapak lain dan merancang pembinaan gereja baharu.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pengurusan gereja kerana bekerjasama dengan pihak kerajaan dan kita akan berusaha sebaik mungkin agar mereka dapat kemudahan rumah ibadat yang lebih sempurna,” katanya ketika ditemui selepas melawat gereja tersebut di Kampung Uloi-Makakagas.
Dalam pada itu Jamawi turut memaklumkan bahawa setakat ini pihak pengurusan gereja masih belum menerima sebarang pampasan berkaitan pelaksanaan projek terbabit.
Sementara itu pemimpin gereja yang ditemui berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan bayaran pampasan yang lebih adil dan munasabah dengan mengambil kira kos tinggi bagi pencarian tapak serta pembinaan bangunan gereja baharu kelak.
Samuel Stimin berkata pihak gereja menganggarkan keperluan pampasan sekitar RM1.5 juta melibatkan kos tanah dan bangunan.