PAITAN: Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Paitan meredah laluan darat sejauh kira-kira 30km dan melalui laluan sungai sejauh 24km lagi untuk mencapai mangsa yang terperangkap banjir, antaranya di Kampung Lubang Buaya, susulan hujan lebat berterusan sejak 9 Mac lalu.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Paitan, Leftenan Bakrin Shamsudin, berkata operasi pemantauan dan pemindahan mangsa dilakukan secara berterusan terutama di kawasan yang terputus hubungan dan berisiko tinggi.
Katanya, seramai 47 mangsa daripada 11 keluarga dipindahkan ke Pusat Komuniti Masyarakat Kampung Batangon Darat pada jam 11 pagi Selasa.
Katanya, setakat ini beberapa laluan utama dan jalan kampung seperti Jalan Meridien serta jalan perhubungan Kampung Batangon Darat tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan.
“Anggota penyelamat terpaksa meredah jalan darat dan menggunakan bot melalui sungai bagi membantu memindahkan penduduk yang terperangkap di kawasan banjir,” katanya pada Rabu.
Beliau berkata, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Paitan diaktifkan pada 10 Mac lalu sebelum pengisytiharan bencana banjir dibuat pada hari yang sama.
Menurutnya, beberapa PPS turut diaktifkan bagi menempatkan mangsa banjir termasuk Pusat Komuniti Masyarakat Kampung Batangon Darat, Gereja PCS Kampung Purubatu, Masjid Nur Hikmah Kampung Kaindangan, Dewan SK Lubang Buaya serta Dewan Terbuka Pejabat Daerah Paitan.
Lebih 30 kampung dilaporkan terputus hubungan akibat banjir antaranya Kampung Batangon Laut, Kampung Simpangan, Kampung Dalamas, Kampung Purubatu, Kampung Kaindangan, Kampung Tanjung Nipis dan Kampung Obah.
Bakrin berkata, penduduk yang terjejas dinasihatkan supaya segera berpindah ke PPS atau lokasi lebih selamat, serta tidak melalui laluan yang dinaiki air bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.