LAHAD DATU: Seorang maut manakala seorang lagi patah tangan selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang mereka naiki terbabas sebelum terjunam ke dalam lubang pembetungan sedalam kira-kira tujuh meter di Jalan Pantai, di sini, pada Jumaat.
Mangsa maut dikenal pasti sebagai Muhammad Almadi Hassan dan merupakan penumpang 4WD itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.04 pagi sebelum mengerahkan 14 anggota bomba dan penyelamat ke lokasi kejadian.
Sebaik tiba di tempat kejadian, komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah Toyota Vigo yang dipercayai terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan dan terjunam ke dalam lubang pembetungan terbuka (jacking pit) yang masih dalam pembinaan.
“Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat kedua-dua mangsa dari kenderaan mereka, yang sebahagiannya tenggelam di dalam air, menggunakan tali dan pengusung.
“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala pemandu yang cedera telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sumsoa berkata, sebagai langkah keselamatan, pihak bomba turut memasang penghadang di kawasan kejadian bagi mengelakkan sebarang kemalangan susulan.
Operasi ditamatkan pada 9.07 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.