TAWAU: Seorang pemandu wanita maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Bombalai–Merotai, di sini, pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, pemandu kereta Perodua Viva, seorang pengawal keselamatan wanita berusia 38 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu Proton Saga berusia 35 tahun cedera parah. Pemandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) Toyota Hilux berusia 31 tahun tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata, siasatan awal berdasarkan rakaman video papan pemuka 4WD terbabit mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta Viva yang datang dari arah Bandar Tawau memasuki laluan bertentangan.
“Pemandu kereta Viva dipercayai terlelap ketika melalui kawasan selekoh sehingga memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Saga yang dipandu seorang wanita.
“Kenderaan itu kemudian berpusing memasuki laluan asal sebelum bertembung pula dengan 4WD yang dipandu seorang lagi wanita,” katanya.
Beliau berkata impak perlanggaran menyebabkan pemandu Viva tersepit di bahagian tempat duduk hadapan sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau.
Bagaimanapun, pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia yang melakukan pemeriksaan mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurutnya, pemandu Proton Saga mengalami kecederaan parah pada bahagian tengkuk dan perut serta dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.
Jasmin berkata siasatan juga mendapati pemandu Viva itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bertugas sebagai pengawal keselamatan di Hospital Tawau ketika kejadian berlaku. Semakan lanjut turut mendapati wanita berkenaan tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak memandu dalam keadaan mengantuk atau keletihan kerana ia boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.