Kota Kinabalu: Dua pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dijatuhi hukuman penjara dan denda kerana mengemukakan dokumen palsu bagi membuat tuntutan perbelanjaan berjumlah RM8,890.
Timbalan Pengarah Cawangan Sandakan Syahruddin Muhd Saleh dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 atas tiga pertuduhan berasingan membabitkan tuntutan palsu manakala Penolong Pengarah Cawangan Beaufort Sufri Hasan Mindar turut dihukum penjara enam bulan dan denda RM10,000 atas satu pertuduhan tuntutan palsu berjumlah RM4,900.
Advertisement

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga Syahruddin didapati bersalah mengemukakan resit palsu bagi menuntut RM2,000 di Mark’s Lodge pada 13 Jun 2014, RM290 di 178-Advertising Sdn Bhd pada 12 Jun 2014 dan RM1,700 di Business Machines Service Centre pada 11 Jun 2014.
Dokumen bertajuk Reconciliation of Expenses Incurred for “KDB With Parliament Beluran” itu dikemukakan pada 24 Julai 2014 kepada Timbalan Pengarah Bahagian Kewangan MCMC Masnita Muad di pejabat MCMC Sandakan.
Kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai tuntutan palsu atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara Syahruddin berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan.
Sementara itu Sufri dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda kerana mengemukakan dokumen palsu iaitu Cash/Invoice Golden Sound Production bertarikh 30 Disember 2013 bagi menuntut RM4,900 untuk perbelanjaan “Festival Begandang Beaufort 2013”.
Kesalahan itu dilakukan pada 6 Januari 2014 di pejabat MCMC Menara MAA.
Sufri didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut membenarkan permohonan kedua-dua tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.
Sepanjang perbicaraan pihak pendakwaan memanggil 30 saksi manakala pihak pembelaan memanggil empat saksi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Norsham Saharom manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Abdul Fikry Jaafar.