TAWAU: Dua dilaporkan cedera selepas kereta jenis Proton Saga dinaiki terbabas sendiri lalu terlanggar pokok dalam kejadian di tepi jalan di Jalan Kampung Tanjung Batu Laut pada awal pagi Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata mangsa merupakan seorang wanita, 30, yang patah kaki dan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang cedera ringan.
Menurutnya kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bomba sebelum dikejarkan ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Terdahulu katanya pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.24 pagi dan sepasukan lapan anggota dikerah ke lokasi pada jarak empat kilometer (km) dari BBP Tawau.
“Pasukan diketuai Komander Operasi PBK I Jehrey Ibno tiba sembilan minit kemudian dan segera melakukan operasi penyelamatan dalam kemalangan membabitkan kereta yang dipercayai terbabas sendiri,”katanya.
Tambahnya operasi ditamatkan pada jam 4.49 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.
Pihak polis turut berada di lokasi bagi membantu siasatan dan kawalan keadaan.