KOTA BELUD: Program Pembangunan Perniagaan Inklusif yang dilancarkan di Kampung Podos, di sini, Isnin lepas, mampu meningkatkan pendapatan penduduk selain memperkasa ekonomi komuniti luar bandar, kata Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick.
Ewon, yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, berkata pelaksanaan program berkenaan membolehkan penduduk terlibat secara menyeluruh dalam rantaian nilai, bermula pengeluaran bahan mentah sehingga penghasilan produk akhir yang berkualiti dan berpotensi dipasarkan dalam dan luar negeri.
"Saya merakamkan penghargaan kepada SME Corp Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), kerana memilih Kampung Podos sebagai lokasi pelaksanaan program ini yang merupakan antara inisiatif penting bagi merapatkan jurang ekonomi di kawasan luar bandar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Projek Rintis Pembangunan Perniagaan Inklusif Negeri Sabah di Kampung Podos di sini, Isnin.
Ewon, yang juga Adun Kadamaian berkata, lokasi pilihan itu amat bertepatan kerana ia memberi peluang kepada penduduk setempat untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti ekonomi berasaskan komuniti melalui pendekatan Perniagaan Inklusif.
Menurutnya, projek berkenaan turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita dan komuniti luar bandar yang masih berdepan cabaran ekonomi, selaras dengan fokus pembangunan keusahawanan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
Projek Pembangunan Perniagaan Inklusif Sabah di Kampung Podos itu akan dilaksanakan selama setahun melibatkan empat fasa bimbingan, termasuk pembangunan produk, peningkatan kemahiran, pengurusan perniagaan dan pemasaran.
Ewon berkata, kerjasama berterusan antara agensi negeri dan Persekutuan amat penting bagi membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya di kawasan luar bandar.
Beliau berharap projek itu akan memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi desa serta menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat di Kampung Podos, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.