Kota Kinabalu: Kelayakan Piala Dunia Tarian Malaysia 2026 merupakan medan penting dalam mencungkil dan memperkasa bakat tarian tempatan untuk dipertontonkan di peringkat antarabangsa.
Menteri Pembangunan Belia, Pembangunan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata program itu bukan sekadar arena pertandingan, malah berperanan membina keyakinan diri, disiplin dan jati diri dalam kalangan generasi muda.
Menurutnya, penglibatan aktif belia dalam bidang seni dapat memperkukuh kreativiti dan inovasi, sekali gus menyumbang kepada pembangunan budaya dalam masyarakat majmuk di negara ini.
“Seni bukan sekadar persembahan di pentas, tetapi merupakan cerminan identiti, sejarah dan jiwa bangsa yang perlu dipelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Kelayakan Piala Dunia Tarian Malaysia 2026 yang berlangsung di sini, baru-baru ini.
Tambahnya, pertandingan itu juga berfungsi sebagai medan pemilihan rasmi untuk menentukan wakil Malaysia ke peringkat akhir Piala Dunia Tarian 2026 yang dijadualkan berlangsung di Dublin, Ireland Julai depan.
Sementara itu, Nizam menegaskan komitmen kerajaan untuk terus menyokong penglibatan belia dalam bidang seni melalui pembangunan ekosistem yang lebih inklusif, dinamik dan berdaya saing.
“Usaha ini penting bagi memastikan bakat tempatan dapat berdiri setaraf dengan penari antarabangsa,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri tokoh tarian tempatan dan wakil penganjur, dan diserikan dengan penyampaian pingat dan sijil kepada pemenang yang akan mewakili Malaysia di persada dunia.