TAWAU: Seorang pemandu lori berusia 58 tahun maut selepas tersepit di dalam jentera berat yang dipandunya akibat kemalangan di Batu 8, Jalan Apas di sini pada kira-kira 12.30 tengah hari Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.37 tengah hari melalui talian 999.
“Seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I Jehrey Ibno dikerahkan ke lokasi yang terletak 23 kilometer dari balai, dan tiba pada 12.58 tengah hari.
“Pemeriksaan mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah lori pengangkut membawa muatan 10 tan yang terbabas sendiri ke bahu jalan,” katanya.
Tambahnya, pasukan turut menemui seorang lelaki tersepit di dalam kenderaan berkenaan sebelum mangsa berjaya dikeluarkan.
“Bagaimanapun, Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan mangsa telah meninggal dunia selepas pemeriksaan dijalankan sebaik dikeluarkan,” katanya.
Jemishin berkata jenazah mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.