LAHAD DATU: Seorang anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berusia 41 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Km 57, Jalan Lahad Datu-Tungku, pada Isnin.
Difahamkan motosikal itu dalam perjalanan menuju ke Lahad Datu dari Tungku manakala Proton Preve datang dari arah bertentangan ketika kejadian kira-kira jam 8.10 pagi.
Ketua Polis Daerah ACP Dzulbaharin Ismail berkata kereta Preve itu sedang memasuki simpang ke Kampung Sibural di sebelah kanan jalan sebelum motosikal terbabit merempuhnya.
Impak perlanggaran menyebabkan penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan dihantar oleh orang awam ke Klinik Kesihatan Tungku untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada jam 9.15 pagi.
Dzulbaharin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Jafri Junat di 089-881255 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.