Kota Kinabalu: Seorang guru di SMKA Tun Datu Mustapha memberitahu Mahkamah Koroner pada Jumaat bahawa dokumen berkaitan lima siasatan dalaman berhubung insiden melibatkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir disimpan oleh pihak sekolah untuk tempoh “sampai bila-bila”.
Nurul Shahadah Ibrahim, 38, ketika menjawab soalan peguam Clarice Vyone Conrad berkata laporan siasatan itu serta kenyataan bertulis pelajar hanya bertujuan untuk rekod dalaman sekolah.
Clarice: Sekolah menyimpan laporan ini sebagai rujukan dan kemudian untuk apa?
Nurul: Untuk rekod sahaja.
Clarice: Untuk simpan sampai bila-bila?
Nurul: Ya betul.
Clarice: Jadi sekolah tidak berniat menyerahkan dokumen ini kepada polis?
Nurul: Tidak. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini kami benar-benar mempercayai pihak berkuasa.
Clarice: Selepas mengambil kenyataan bertulis pelajar terlibat di mana dokumen ini disimpan?
Nurul: Dalam fail Unit Disiplin. Fail khas untuk Zara.
Clarice: Berapa banyak fail khas untuk Zara yang disediakan oleh pihak sekolah?
Nurul: Satu.
Nurul saksi ke-54 dalam prosiding itu turut memberi keterangan bahawa beliau telah mengimbas kenyataan bertulis lima pelajar yang merupakan individu terakhir melihat Zara bagi menyediakan laporan awal berkaitan insiden pada 15 Julai lalu.
Katanya tindakan mengimbas dokumen memudahkan penyediaan laporan tanpa perlu kerap merujuk kepada fail fizikal.
Beliau menambah pihak sekolah tidak terfikir bahawa kenyataan awal pelajar itu boleh membantu siasatan polis memandangkan prosedur tersebut tidak pernah diamalkan sebelum ini.
Katanya kenyataan itu hanya akan diserahkan kepada polis sekiranya kes tersebut diambil tindakan secara rasmi.
Clarice: Pernahkah anda terfikir bahawa kenyataan awal itu sebenarnya boleh membantu polis terutama kerana ia diambil hanya sehari selepas kejadian?
Nurul: Kami benar-benar tidak memikirkannya. Ini melibatkan polis dan sangat serius. Ketika itu kami tidak terlintas untuk menyerahkan kenyataan tersebut kepada polis. Kami juga tidak mahu mengganggu siasatan mereka.
Clarice: Adakah anda sedar terdapat kemungkinan apa yang pelajar ceritakan kepada anda dan apa yang mereka beritahu polis mungkin berbeza?
Nurul: Saya tidak pasti tetapi saya berharap siasatan dijalankan dengan betul.
Clarice: Sudah empat bulan berlalu. Laporan ini masih berada dalam fail sekolah dan masih belum ditandatangani. Mengapa?
Nurul: Saya terlepas pandang perkara itu.
Clarice: Bagaimana anda boleh terlepas pandang sedangkan anda sebelum ini mengatakan kes ini serius?
Nurul: Saya mohon maaf. Saya benar-benar terlepas pandang. Ketika itu kami terlalu fokus kepada siasatan dalaman.
Clarice: Siasatan dalaman ini juga tidak dimaklumkan kepada polis?
Nurul: Tidak.
Clarice: Dan juga tidak dimaklumkan kepada ibu Zara?
Nurul: Tidak. Kerana ini adalah kenyataan awal dan kami bimbang ia boleh menimbulkan persepsi negatif. Beliau turut memberitahu bahawa rekod siasatan tersebut tidak diserahkan kepada mana-mana pihak termasuk pengetua sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Nurul bersetuju bahawa laporan tersebut sepatutnya dimaklumkan secara lisan dan bertulis namun berkata Unit Disiplin mengekalkan kerahsiaan walaupun dalam peringkat dalaman sekolah.
Clarice: Bukankah pengetua adalah individu paling penting yang perlu mengetahui segala yang berlaku di sekolah sama ada secara lisan atau bertulis walaupun perkara kecil? Betul?
Nurul: Betul.
Clarice: Maksudnya pengetua memang perlu mengetahui kewujudan laporan ini?
Nurul: Betul. Dalam hal ini saya bertanggungjawab sepenuhnya atas kecuaian tersebut.
Dalam keterangan lanjut Nurul memaklumkan bahawa Pelajar C pernah dikenakan tindakan disiplin kerana membawa telefon bimbit pada tahun ini.
Namun beliau tidak mengingati dengan jelas latar belakang Pelajar E hanya menyatakan bahawa pada 15 Julai pelajar berkenaan turut membawa telefon bimbit.
Katanya pelantikan Pelajar E sebagai ketua asrama walaupun mempunyai rekod disiplin tidak berada dalam skop tugas beliau.