Kota Kinabalu: Dua individu masing-masing didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret pada Selasa kerana gagal menjelaskan kemasukan wang tunai ke dalam akaun bank mereka.
Kedua-dua tertuduh menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil (Sabah Cap 80) yang membawa hukuman maksimum denda RM100, penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali.
Advertisement

Nurul Farihah Hasmi, 29, didenda RM100 atau lima minggu penjara selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus kerana mempunyai RM5,860 dalam akaun Bank Islam miliknya yang gagal dijelaskan dengan memuaskan pada 11 Julai tahun ini, jam 5.39 petang di Kampung Sembulan Tengah.
Seorang lagi Agilan Murasan didenda RM100 atau lima hari penjara oleh Majistret Marilyn Kelvin kerana memiliki RM2,350 dalam akaun CIMB miliknya yang juga gagal dijelaskan secara munasabah pada 11 Julai 2024, jam 10 malam di Penampang.
Dalam kes Nurul mahkamah dimaklumkan oleh pihak pendakwaan bahawa pengadu telah memindahkan RM8,860 selepas membalas iklan di Facebook untuk membeli sebuah Toyota Alphard.
Penjual tersebut kemudian didapati merupakan scammer yang menggunakan identiti orang lain.
Siasatan mendapati wang itu berada dalam akaun Nurul dan dia gagal memberikan penjelasan munasabah mengenainya.
Bagi kes Agilan pula mahkamah dimaklumkan bahawa pengadu memindahkan RM2,350 melalui aplikasi “Little Red Book” untuk membeli suplemen daripada seorang penjual tidak dikenali.
Polis kemudian menahan Agilan yang mengaku meminjamkan akaun banknya kepada orang lain.
Agilan juga gagal menjelaskan bagaimana wang itu boleh masuk ke dalam akaunnya.
Kedua-duanya didakwa di bawah Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil (Sabah) yang memperuntukan hukuman denda RM100, penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Kareena Kaur Gill Karamjit Singh dan Muhammad Yousof Tahir Mahmood mengendalikan pendakwaan.