Wed, 1 Apr 2026
Headlines:
Trend pelbagai penjuru tidak semestinya demokras: Bekas Ketua Menteri
Published on: Thursday, November 20, 2025
Published on: Thu, Nov 20, 2025
By: Stefyanie Myla Micheal
Text Size:
Text:
Trend pelbagai penjuru tidak semestinya demokras: Bekas Ketua Menteri
Shafie berkata bilangan 10 atau 11 calon bagi satu kerusi menunjukkan tahap perpecahan membimbangkan yang boleh mengelirukan pengundi dan menjejaskan hubungan keluarga.
Kota Kinabalu: Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal memberi amaran bahawa Sabah mungkin satu hari nanti melihat sehingga 50 calon bertanding bagi satu kerusi, jika trend pertandingan pelbagai penjuru berterusan.

Beliau berkata walaupun sesetengah pihak, termasuk generasi muda, mungkin melihatnya sebagai “demokrasi berfungsi”, hakikatnya rakyat membiarkan diri dipecahbelahkan dan membuka peluang kepada pihak lain mengambil kesempatan.

Advertisement
Bekas Ketua Menteri itu merujuk kepada rekod 596 calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 pada 29 Nov, di mana banyak kerusi menyaksikan pertembungan 10 hingga 12 penjuru, dengan Tulid di pedalaman mencatat 14 pencabar.

Shafie berkata bilangan 10 atau 11 calon bagi satu kerusi menunjukkan tahap perpecahan membimbangkan yang boleh mengelirukan pengundi dan menjejaskan hubungan keluarga.

SPONSORED CONTENT
Kota Kinabalu: KOTA KINABALU: Fiesta Mega Raya (FMR) 2026 is set to be the largest and most prestigious Hari Raya celebration in Sabah, taking place from March 7 to 18, at the Sabah International Convention Centre (SICC), here.
“Sesetengah keluarga bertanding sesama sendiri. Ini boleh memecahbelahkan keluarga. Saya sendiri mengalaminya apabila ahli keluarga saya bertanding menentang saya, tetapi kini mereka bersatu semula di bawah Warisan,” katanya.

Beliau menegaskan peningkatan parti kecil dan calon bebas, walaupun sah di sisi undang-undang, memerlukan perhatian serius pemimpin di semua peringkat bagi mengelakkan sistem politik Sabah menjadi tidak terkawal.

Advertisement
“Jika kita membiarkan ini berterusan, ia mungkin tidak berhenti dengan 14 calon saja. Suatu hari nanti kita mungkin melihat 50 orang bertanding bagi satu kerusi. Rakyat Sabah perlu mengambil inisiatif memulihkan perpaduan,” tegasnya.

Shafie turut menyuarakan kekecewaan terhadap isu bekalan air, elektrik dan infrastruktur di Sabah walaupun dengan belanjawan tahunan bernilai berbilion ringgit.

Advertisement
Beliau berkata langkah-langkah semasa era Warisan telah merancakkan pelancongan, termasuk pinjaman RM300 juta kepada AirAsia yang membolehkan penerbangan antarabangsa terus ke Sabah dari China, Korea, Indonesia, Australia dan Semenanjung Malaysia tanpa transit di KLIA.

“Saya beritahu Tony Fernandes (ketua AirAsia), jika kami pinjamkan wang, pastikan penerbangan terus ke Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan. Hari ini, pelancong dari Korea dan negara lain memenuhi hotel dan resort kita, terutama di Semporna yang kini mempunyai hotel bertaraf lima bintang. Kota Belud masih tiada,” katanya, merujuk kawasan itu yang bertahun-tahun di bawah Barisan Nasional.

Beliau mendakwa sumber ekonomi Sabah juga tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk manfaat tempatan, dengan kira-kira 300,000 rakyat Sabah terpaksa mencari pekerjaan di Semenanjung.

“Kilang perabot di Singapura dan Johor menggunakan kayu dari Sabah, tetapi kita (kerajaan negeri sebelum ini) tidak pernah membina industri ini di sini. 

“Warisan menubuhkan kilang minyak masak di Tawau dan merancang projek serupa di Pitas, Keningau dan Sandakan, walaupun sebahagiannya tidak diteruskan.

“Jika Warisan kembali memerintah, pembangunan industri di Sabah akan diberi keutamaan untuk mewujudkan pekerjaan dan mengurangkan kebergantungan kepada pasaran luar,” katanya.

Mengenai peluang Warisan di Kota Belud yang mempunyai empat kerusi DUN, Shafie berkata parti itu menumpukan kepada calon muda dan wajah baharu yang membawa hala tuju baru bagi daerah itu.

“Di Kota Belud, masanya sudah tiba untuk wajah baharu. Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada mereka yang telah lama berkhidmat tetapi tidak banyak berjasa,” katanya.

Shafie menekankan potensi ekonomi Kota Belud yang kukuh, termasuk kekuatan dari segi pertanian, sejarah penanaman padi dan prospek pelancongan, serta pelaburan ratusan juta ringgit sebelum ini bagi menyokong aktiviti penanaman padi.

Beliau turut menyorot peluang dalam akuakultur dan penternakan ketam yang boleh diperluas dengan sokongan sewajarnya.

“Jika kami membentuk kerajaan, inisiatif utama dalam bidang ini akan dilaksanakan. 

“Apabila industri berkembang, peluang pekerjaan akan muncul. Dan apabila rakyat mempunyai pekerjaan, ia menjadi alat penting untuk membasmi kemiskinan di Sabah.”
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here