Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor melantik Tan Sri Andrew Sheng, seorang tokoh perbankan dan pengawal selia kewangan Asia yang disegani, sebagai Penasihat Khasnya.
Mengumumkan pelantikan itu, Hajiji berkata pengalaman luas serta kelayakan Sheng akan menjadi aset kepada Sabah.
“Kami menantikan sumbangan beliau, khususnya dalam sektor ekonomi dan pelaburan,” katanya selepas bertemu Sheng di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya, di sini, pada Jumaat.
Sheng yang berpangkalan di Hong Kong merupakan rakyat Malaysia yang membesar di Sabah pada awal 1960-an dan pernah memegang beberapa jawatan penting dalam institusi perbankan dan pelaburan di Asia serta sering dijemput sebagai penceramah ekonomi di peringkat global.
Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ketua Ahli Ekonomi dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Timbalan Ketua Eksekutif Hong Kong Monetary Authority, Pengurus Kanan di Bank Dunia serta Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong.
Kini beliau merupakan Profesor Khas di Institut Kewangan, Chinese University of Hong Kong (Kampus Shenzhen), selain menganggotai majlis penasihat antarabangsa bagi China National Financial Regulatory Administration (NFRA), China Securities Regulatory Commission (CSRC) dan China Investment Corporation (CIC).
Pada April 2013, majalah Time menamakan Sheng antara 100 individu paling berpengaruh di dunia.
Sementara itu, Invest Sabah Berhad menyambut baik pelantikan Sheng.
Agensi itu berkata pelantikan tersebut dibuat pada waktu penting bagi landskap pelaburan Sabah.
“Latar belakang beliau meletakkannya di persimpangan antara dasar, pasaran dan pembaharuan institusi,” katanya.
Menurut agensi itu, pelantikan tersebut dibuat susulan semakan tadbir urus baru-baru ini, dengan agensi berkenaan kini melalui proses penstrukturan semula bagi memperkukuh proses dalaman, meningkatkan akauntabiliti serta memfokuskan semula peranannya sebagai agensi promosi pelaburan negeri.
Agensi itu berkata cabaran Sabah bukanlah kekurangan peluang, tetapi keperluan terhadap konsistensi dan kredibiliti untuk menterjemahkan peluang tersebut kepada pelaburan berterusan.
Menurutnya, kepakaran Sheng dalam sistem kewangan, disiplin kawal selia dan aliran modal global mampu membantu memandu peralihan tersebut serta meningkatkan keyakinan institusi.
Invest Sabah Berhad berkata pihaknya menantikan kerjasama dengan beliau bagi memperjelas dasar serta meletakkan Sabah sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing dan diyakini.