TAMBUNAN: Kerajaan akan meneliti beberapa kolej komuniti di Sabah yang memerlukan kemudahan asrama bagi pelajar kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata dasar kerajaan ketika menubuhkan kolej komuniti sebelum ini adalah tidak menyediakan asrama.
“Bagaimanapun bagi kawasan pedalaman di Sabah, Sarawak atau di Semenanjung perkara ini perlu dikaji semula kerana minat pelajar untuk melanjutkan pengajian di kolej komuniti semakin meningkat.
“Sebagai contoh bagi mereka yang mengikuti kursus sijil dua tahun pelajar memerlukan tempat tinggal. Ramai pelajar yang tinggal jauh ketika ini terpaksa menyewa rumah di kawasan sekitar kolej,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja ke Kolej Komuniti Tambunan.
Zambry berkata beliau telah meminta Ketua Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti (Policc) meneliti keperluan penyediaan asrama bagi kolej komuniti di Sabah.
“Kerajaan akan mengkaji keperluan tersebut dan memberi tumpuan kepada kawasan yang perlu didahulukan,” katanya.
Beliau berkata kementerianya komited memperkukuh akses kepada pendidikan berkualiti di kawasan luar bandar.
Menurutnya kolej komuniti memainkan peranan penting sebagai institusi akar umbi yang memperkasa komuniti melalui pendidikan dan kemahiran.
Zambry menyatakan kementerian komited memastikan pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kekal relevan serta responsif terhadap keperluan industri dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat.
“Kementerian juga memastikan kursus yang ditawarkan mempunyai nilai pasaran. Sebagai contoh Kolej Komuniti Tambunan menawarkan beberapa kursus penting termasuk dalam bidang pelancongan, automotif, teknologi dan agroteknologi,” katanya.
Beliau dimaklumkan bahawa 100 peratus graduan Kolej Komuniti Tambunan mendapat pekerjaan dalam bidang masing-masing sekali gus disifatkan sebagai satu pencapaian terbaik.
Zambry berkata Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) akan terus diperkasa sebagai medium pembangunan komuniti di Sabah.
Ujar beliau PSH bukan sekadar pilihan tetapi satu keperluan yang membolehkan masyarakat setempat mendapatkan latihan, pengetahuan dan kemahiran baharu bagi meningkatkan taraf hidup mereka.