RANAU: Kerusi Kundasang dan Paginatan masing-masing menarik 10 calon daripada pelbagai parti, manakala Karanaan menyaksikan pertandingan tujuh penjuru.
Penyandang Kundasang yang juga calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata perkembangan itu menunjukkan perlunya penyokong gabungan tersebut memperkukuh perpaduan.
Dr Joachim, bekas Timbalan Ketua Menteri, berkata rakyat perlu bersatu kerana matlamat utama adalah membawa pembangunan ke kawasan masing-masing.
“Perlu ada kerjasama. Itu mesej kami untuk memperkukuh kekuatan GRS pada pilihan raya ini,” katanya.
Turut hadir ialah calon GRS bagi Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun, dan calon GRS bagi Paginatan, Datuk Abidin Madingkir.