Kundasang: Projek menaik taraf gerai tepi jalan di daearah ini merupakan sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh untuk memperkukuh usahawan mikro dan kecil luar bandar dengan menyediakan premis perniagaan yang lebih tersusun, selamat dan berdaya saing kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin.
Beliau berkata objektif utama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop)menyalurkan peruntukan bagi projek itu adalah untuk menambah baik persekitaran perniagaan serta menyokong pertumbuhan pendapatan yang mampan.
“Salah satu objektif Kuskop ialah memperkukuh usahawan mikro dan kecil luar bandar dengan menyediakan premis perniagaan yang lebih tersusun, selamat dan kompetitif.
“Naik taraf ini dapat meningkatkan persekitaran perniagaan, memperbaiki pengalaman pelanggan dan menyokong pertumbuhan pendapatan mampan khususnya di kawasan pelancongan seperti Kundasang,” katanya.
Mohamad berkata kementerian mengamalkan pendekatan berorientasikan hasil dalam menilai keberkesanan projek bagi memastikan manfaat nyata dapat dirasai peniaga terlibat.
“Bagi projek naik taraf di Kundasang, kami memantau prestasi peniaga melalui indikator seperti kadar penggunaan gerai, corak kehadiran pelanggan serta tahap penyertaan perniagaan dari semasa ke semasa,” katanya.
Menurutnya Kuskop turut berinteraksi secara langsung dengan pengusaha gerai untuk mendapatkan maklum balas berstruktur mengenai perubahan keadaan perniagaan, kecekapan operasi dan peluang pasaran.
“Elemen penilaian ini selaras dengan amalan Kuskop dalam menjejak hasil program bagi memastikan intervensi sokongan membawa kepada peningkatan ketahanan perusahaan dan aktiviti ekonomi setempat yang boleh diukur,” katanya.
Beliau memberi jaminan pelaksanaan projek akan dipantau rapi.
“Kami akan memastikan projek di bawah Kuskop dilaksanakan mengikut tempoh masa dan spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.
Mengenai perancangan masa depan Mohamad berkata kementerian telah melaksanakan inisiatif naik taraf gerai dan perusahaan mikro secara berstruktur di seluruh Sabah menerusi program Tamu Desa.
“Sejak diperkenalkan pada 2024 melalui pejabat daerah sebagai agensi pelaksana, sebanyak 97 projek melibatkan pembinaan baharu dan naik taraf kemudahan tamu telah dilaksanakan di Sabah dengan peruntukan berjumlah RM20 juta,” katanya.
Beliau menambah projek di Kundasang merupakan pendekatan yang lebih komprehensif dan dipertingkatkan, dibangunkan oleh Uda Holdings Berhad di bawah inisiatif Malaysia Entrepreneur Hub.
Sementara itu Ahli Majlis Daerah Ranau (AMDR) Samsul Sinun menegaskan sokongan pihak berkuasa tempatan terhadap projek berkenaan.
“Apabila projek ini dibentangkan dalam mesyuarat penuh majlis, tiada bantahan daripada mana-mana ahli.
“Sebagai wakil AMDR Kundasang saya menyokong cadangan ini dan memohon supaya semua peniaga sedia ada diberikan gerai di bangunan baharu, gerai sementara disediakan sepanjang tempoh pembinaan, kadar sewaan dikekalkan atau dikurangkan serta sesi libat urus diadakan bersama peniaga,” katanya.
Beliau berkata terdapat kebimbangan awal dalam kalangan peniaga berhubung gangguan perniagaan, reka bentuk bangunan, tempoh pembinaan dan komitmen kewangan.
“Saya jelaskan bahawa menolak projek ini adalah satu kerugian kerana bukan mudah mendapatkan peruntukan Persekutuan. Gerai sedia ada sudah lama dan tidak selamat manakala bangunan baharu akan lebih moden, kukuh dan tersusun sekali gus meningkatkan imej Kundasang,” katanya.
Samsul mengesahkan proses pemindahan sementara peniaga sedang dilaksanakan bagi memastikan pendapatan mereka tidak terjejas dan menegaskan kepimpinan majlis akan memantau kemajuan projek supaya kontraktor menyiapkannya mengikut jadual.
Dalam perkembangan sama Mohamad berkata Kuskop bersedia melaksanakan intervensi berimpak tinggi yang sama di kawasan lain di Sabah dengan keutamaan diberikan kepada lokasi yang sesuai di mana naik taraf berstruktur mampu memperkukuh keusahawanan luar bandar, meningkatkan kemampanan perniagaan dan memberi manfaat lebih luas kepada komuniti.