RANAU: Orang ramai dijemput menghadiri Rumah Terbuka Krismas 2025 dan Tahun Baharu 2026 yang akan diadakan di Dewan Masyarakat Ranau dari jam 11 pagi hingga 2 petang pada 18 Januari ini.
Program yang dianjurkan oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) Kundasang dengan kerjasama KDCA Ranau itu akan dihoskan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah (KKRU) Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Timbalan Ketua Bahagian PBS Kundasang merangkap pengerusi penganjur Yubidi Gompoyos
(gambar) berkata penganjuran program tersebut adalah sebagai tanda penghargaan sempena sambutan Krismas 2025 serta ketibaan Tahun Baharu 2026.
Selain itu katanya program berkenaan turut bertujuan memperkukuh perpaduan dan persahabatan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di daerah terbabit.
“Program ini mencerminkan komitmen berterusan PBS dalam memupuk semangat kebersamaan, toleransi dan saling menghormati, yang menjadi asas keharmonian di Sabah.
“Oleh itu kehadiran orang ramai tanpa mengira latar belakang amat diharapkan bagi memeriahkan majlis ini di samping menyemarakan semangat perpaduan serta memulakan tahun baharu dengan penuh kesyukuran,” katanya.