Kota Kinabalu: Seorang guru sekolah menengah berusia 49 tahun di Papar didakwa membabitkan dua pertuduhan melakukan gangguan seksual fizikal terhadap dua pelajarnya.
Redzwan Bilmahruf mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan atas kedua-dua pertuduhan tersebut pada Rabu.
Bagi pertuduhan pertama Redzwan didakwa melakukan kesalahan itu terhadap seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun 9 bulan dengan menyentuh ketiak dan payudara kiri mangsa pada jam 8.30 pagi, 25 September tahun ini di dewan sekolah berkenaan.
Bagi pertuduhan kedua dia didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi pelajar perempuan berusia 15 tahun 5 bulan dengan menyentuh payudara kanan mangsa di tempat sama pada hari yang sama sekitar jam 9.20 pagi.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (SOACA) yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Terdapat juga hukuman tambahan di bawah Seksyen 16(1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan sekurang-kurangnya dua sebatan.
Mahkamah menetapkan 18 Disember tahun ini untuk pengurusan kes praperbicaraan dan membenarkan Redzwan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan deposit RM3,000 bersama dua penjamin tempatan.
Redzwan turut diperintahkan melapor diri di Balai Polis Papar sekali sebulan, menyerahkan pasport (jika ada) kepada mahkamah serta diberi amaran agar tidak mengganggu saksi pendakwaan sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Mahkamah juga menasihati Redzwan supaya melantik peguam untuk mewakilinya semasa perbicaraan.
Terdahulu Redzwan yang tidak diwakili peguam memohon agar jaminan diberikan dengan alasan beliau masih bekerja dan isterinya baru meninggal dunia akibat kanser.
Beliau juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau mempunyai anak-anak yang perlu dijaga.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis.