LAHAD DATU: Beberapa laluan di daerah ini akan ditutup dan dilencong sementara bagi memberi laluan kepada proses penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri Sabtu ini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail, berkata penutupan jalan akan bermula jam 5 pagi hingga 12 tengah hari bagi memastikan proses penamaan calon di Dewan Perdana berjalan lancar.
Penutupan jalan melibatkan kedua-dua hala Jalan Lahad Datu–Tawau dari lampu isyarat Kampung Terusan hingga ke lampu isyarat Bandar Seri Perdana, manakala bagi laluan dari Jalan Kampung Betik, jalan akan ditutup di Bulatan Jalan Bukit Perdana dan dilencongkan ke arah Taman Sri Perdana.
Lencongan turut disediakan bagi penduduk di kawasan Taman Aman, Taman Harapan serta kawasan sekitar.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
“Kami juga mengharapkan kerjasama orang ramai untuk mematuhi arahan anggota polis yang bertugas bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang proses penamaan calon,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dzulbaharin turut mengingatkan semua calon supaya mematuhi peraturan dan undang-undang serta mengelak melakukan sebarang kesalahan yang boleh menjejaskan kelancaran proses penamaan calon.
Beliau menegaskan bahawa calon dan wakil masing-masing perlu mengawal penyokong mereka agar tidak mencetuskan sebarang provokasi terhadap penyokong pihak lain.
Tambahnya, sebarang bentuk konvoi kenderaan bagi menunjukkan kekuatan parti juga tidak dibenarkan.