LAHAD DATU: Sebanyak 1,088 paket minyak masak dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) dalam satu operasi di Kampung Atiam, di sini, pada Ahad.
PPM dalam kenyataan berkata seorang pemandu tempatan berusia 61 tahun bersama sebuah lori turut ditahan dalam operasi pada jam 3.10 petang itu.
“Hasil pemeriksaan ke atas muatan lori yang ditutup dengan kanvas menemui beberapa plastik berwarna hitam.
“Pemeriksaan lanjut mendapati plastik itu mengandungi 64 kotak minyak masak dan setiap kotak mengandungi 17 paket minyak masak.
“Pemandu lori juga gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi mengangkut atau menyimpan barangan bersubsidi,” katanya.
Rampasan terbabit dianggarkan bernilai RM42,790 dan kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu, PPM berkata ia akan terus komited dalam membanteras kegiatan penyelewengan barangan bersubsidi bagi melindungi kepentingan rakyat dan negara.